Thursday, June 19, 2008

Pengorbanan Seorang Isteri

Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini terasa lumpuh untuk menanggung beban yang teramat berat. Tak mampu lagi dipikul oleh bahuku, apatah lagi di usia yang telah agak banyak ini. Kalaulah aku tahu beginilah hatinya, sumpah aku tidak lakukan semua ini. Dia tetap berwajah tenang.

Tidak kelihatan walau secalit resah di kelopak mata, di pipinya malah bibirnya. Segalanya masih sama seperti dulu. Aku leka. Leka dengan setiap kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku tidak pernah dipersoalkan.

Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan keizinan, aku lihat ada titisan air mata gugur di pipinya. Itulah kali terakhir aku lihat dia menangis.

Dia tidak menuntut apa-apa dariku untuk dirinya selain dari mengingati aku tentang nafkah anak-anak kami yang seramai lima orang. Dia meninggalkan perkarangan mahkamah, setelah sedikit sesi kaunseling selesai. Aku mempelawa untuk menghantar pulang. Dalam senyuman yang kukira dibuat-buat, dia menolak dengan alasan, mulai dari hari ini dia akan belajar untuk mengurus hidupnya sendiri.

Aku tidak ambil pusing dengan perkara itu. Aku meneruskan niatku mengahwini Normi. Dia tidak sedikit pun membentak bila aku memintanya menggosok sepasang baju Melayu, pakaian pengantinku. Cuma di kala itu aku kehilangan senyuman manja daripadanya. Dia terus berwajah tenang dan syahdu. Sebelum aku melangkah pergi, dia masih seperti selalunya, bersalaman dan mencium tanganku sambil berpesan jaga diri baik-baik.

Aku mengahwini Normi setelah setahun menjalin persahabatan. Aku sendiri kurang pasti mengapa aku tertarik dengan Normi. Cuma yang aku sedar, aku kasihankan kepada anaknya yang sedari awal memanggil aku ayah. Mungkin juga kerana Normi cantik. Perwatakannya yang manja membuatkan ramai lelaki tergoda. Dan akulah yang paling kalah dengan kemanjaannya. Walau apa pun alasan, antara aku dan Normi memang ditakdirkan ada jodoh, kerana itu kami berkahwin. Walau ibu dan ayahku malah saudara mara menentang hebat kemahuanku. Apa kurangnya Nurjannah, soal mereka.

Memang aku akui, tiada cacat celanya Nurjannah. Dia memiliki semuanya. Cantik dan seorang perempuan yang lengkap memenuhi ciri-ciri seorang isteri, ibu dan pengasuh anak-anak yang baik. Dia juga pernah menjadi rebutan pemuda sekampung. Di antara mereka, aku orang yang paling bertuah menjadi pilihan Nurjannah. Tuah itu aku sambut dengan penuh rasa kesyukuran. Dia melahirkan zuriatku seramai lima orang. Dia tidak pernah mengeluh keletihan melayan kerenah anak-anak walau aku kurang membantu. Keperluanku juga dijaga sepenuhnya. Tiada apa yang dimusykilkan di hati ini terhadapnya. Segalanya cukup sempurna.

Pendidikan agama untuk anak-anakku juga diberikan oleh Nurjannah. Semua anak-anakku khatam Al Quran di usia sepuluh tahun. Semua itu Nurjannah yang ajarkan. Anak-anakku tahu akan tanggungjawab mengerjakan sembahyang seawal usia enam tahun. Itu juga Nurjannah, isteriku juga yang ajarkan. Bukan sekadar anak-anak malah aku sendiri pun diuruskan oleh Nurjannah. Ketika aku sedang mandi, pakaian kerjaku dari baju hinggalah ke stokin Nurjannah sudah aturkan. Aku cuma capai sahaja. Ketika aku berwuduk, Nurjannah telah siap membentang sejadah sembahyang. Setiap kali aku pulang kerja, sekurang-kurangnya, segelas minuman telah tersedia di ruang rehat.

Nurjannah tidak pernah menyusahkan aku walau menghantarnya ke pasar. Katanya, dia boleh pergi sendiri. Selama sebelas tahun hidup bersamanya, Nurjannah faham benar seleraku. Selama sebelas tahun itu juga seingatku tidak pernah sekalipun Nurjannah menyakiti hatiku.

Menjelang hari-hari perayaan, ketika rakan-rakan sepejabatku mengeluh kerana isteri di rumah minta menukar langsir baru, Nurjannah isteriku di rumah terbongkok-bongkok mencuci langsir lama. Bila kami diberi bonus tahunan oleh majikan, rakan-rakanku resah kerana isteri masing-masing turut meminta imbuhan untuk membeli seutas dua barang kemas. Tetapi isteriku Nurjannah tidak pernah meminta semua itu. Nurjannah menasihati aku agar menyimpan wang lebihan. Untuk kegunaan masa depan katanya.

Akhirnya aku menggunakan wang simpanan tersebut untuk perkahwinanku dengan Normi, madu Nurjannah. Setelah berkahwin dengan Normi, barulah aku merasai segala masalah seperti yang dihadapi teman-teman sepejabatku. Apa nak buat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan sepahit mana sekalipun, terpaksalah ditelan jua. Apatah lagi aku dan Normi telah dikurniakan seorang cahaya mata.

Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku memang jarang-jarang sekali pulang ke rumah Nurjannah. Kadang-kadang seminggu sekali, kadang-kadang sebulan sekali. Itupun untuk memberi wang perbelanjaan anak-anak. Nurjannah tetap dengan sifat sabarnya. Walau aku memperlakukannya sedemikian, dia tidak pernah marah-marah apalagi mengamuk. Setiap kali kepulanganku, dia sambut tanpa secebis riak kemarahan. Bersalam dan mencium tanganku. Dia tetap menyediakan makanan kegemaranku. Cuma yang amat aku terasa, aku ke! hilangan senyuman mesranya.

Dia pernah meminta izinku membantu abangnya yang berniaga di kedai runcit berhampiran dengan rumah kami. Aku sedar, mungkin perbelanjaan harian dariku tidak mencukupi, tetapi aku buat-buat tidak tahu. Lagipun Nurjannah tidak pernah menyebutnya. Aku lihat tubuhnya kurus sedikit. Aku bertanya padanya apakah dia sakit atau ada apa-apa masalah. Namun dia hanya menggeleng kepala.

Aku tidak pasti reaksi anak-anak terhadapku setelah aku berkahwin lain. Kelima-lima anakku dengan Nurjannah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda membantah atau marah. Cuma antara kami kurang mesra, mungkin kerana sudah jarang berjumpa. Alhamdulillah aku punyai anak-anak sebaik Nurjannah.

Kelima-lima anakku sudah berjaya. Semuanya sudah menjejaki menara gading. Terasakan begitu cepat masa berlalu. Anak-anakku sudah menjangkau dewasa. Fahmi anakku yang sulung menjawat jawatan doktor, Fariza menjadi pensyarah, Fakhrul pula pegawai di jabatan kerajaan, Farihin seorang guru dan Farina telah tamat dan majlis konvokesyennya akan diadakan dua hari lagi.

Aku pulang hari ini, di atas permintaan Farina agar aku dan ibunya hadir di majlis bersejarah baginya. Seingat aku telah dua bulan aku tidak menjengah Nurjannah. Namun kepulanganku tetap disambut baik oleh Nurjannah. Bersalam dan mencium tanganku seperti dulu-dulu. Dia tidak pernah menunjukkan riak kurang senang padaku. Walhal sudah banyak perkara yang telah aku lukai hatinya, namun sukar untuknya menunjukkan rasa memberontak.

Kesabarannya banyak mengajarku apa erti kesetiaan seorang isteri. Aku akui bukan seorang suami yang adil. Adil dalam mencurahkan kasih sayang. Mungkin juga pengaruh isteri mudaku, namun aku tidak menyalahinya. Keterlanjuranku mengahwini memberi satu perbandingan yang nyata antara keduanya. Namun kesalahan masih berpihak padaku seolah-olah tidak mampu untuk berlaku adil.!

Hari ini Nurjannah memasak lauk kegemaranku, udang masak lemak cili padi. Selera sungguh aku makan. Suasana di meja makan sunyi sepi. Fariza yang juga makan bersama kami, aku lihat asyik menyuap nasi ke mulut. Nurjannah membisu seribu bahasa dan aku sendiri bagai kehilangan cerita. Sebenarnya jauh di sudut hati, aku terlalu lama rindukan gelak tawa Nurjannah. Entah kenapa hari ini aku kehilangan punca mencari kemesraannya.

Sesudah makan malam aku duduk-duduk di ruang tamu di samping Fariza. Nurjannah menghampiriku sambil menghulur satu sampul surat berwarna jingga. Aku masih ingat, itulah sampul surat kad undangan perkahwinanku dengan Normi. Aku bagaikan tersentak. Borang permohonan cerai. Telah lengkap diisi hampir terlepas dari tanganku. Aku terpempan. Terkedu. Hilang sudah segala kekuatan yang ada. Aku cuba menolak rasa sangsi. Adakah aku berdepan dengan realiti atau sebaliknya. Aku lihat reaksi Nurjannah, tenang dan bersahaja. Ada sesuatu yang ingin diutarakannya. Aku menunggu dengan sabar, mahu penjelasan yang wajar darinya.

"Bang, lapan belas tahun yang lalu, Jannah dengan rela hati menandatangani borang permohonan poligami, Jannah harap abang juga boleh melakukannya sekarang," pintanya dengan suara yang aku rasakan bagai belati menghiris hati. Rasanya ingin gugur air mata lelakiku. Namun kutahan. Adakah ini balasan untuk pengorbanan yang telah kau lakukan. Kukira langkah mu tidak akan terlanjur sejauh itu. Nurjannah, barang kali beginilah deritanya hatimu dulu, ketika mahu melepas pergi orang yang dikasihi..

'Jannah tak mahu abang terus dihumban dosa kerana sememangnya abang tidak pernah berlaku adil. Selama ini pun Jannah hanya tak mahu kehidupan anak-anak kita terganggu lantaran sikap kita. Jannah rasa pengorbanan Jannah sudah sampai ke penghujungnya. Lagi pun kesabaran Jannah sudah tinggal sia-sia. Jannah tidak mahu jadi isteri derhaka apabila kesabaran sudah tiada lagi. Anak-anak kita pun sudah dewasa, mereka sudah boleh hidup sendiri," Nurjannah bersuara lagi tanpa sebarang riak api kebencian kepadaku.

"Kami adik beradik telah lama kumpul wang untuk hantar ibu tunaikan fardhu haji tahun ini," sambung Fariza. Aku merenung mata Fariza dalam-dalam. Lama. Sehinggalah Fariza bersuara.

"Kami bukan tak mahu hantar ayah ke Mekah, tapi kalau ayah pergi nanti, siapa nak jaga mak cik Normi, kan ayah tak pernah tinggal mak cik Normi sorang-sorang."

"Jannah, abang tak mahu kehilangan Jannah, biar abang tinggalkan Normi," pintasku cuba melerai! kekusutan yang membelit diri.

"Sejauh mana sekali pun abang tinggalkan Normi, hati Jannah tetap terluka. Tanda tangan borang tu bang," pinta Nurjannah sungguh-sungguh.

Aku rasakan itulah dentuman petir yang paling kuat pernah memanahi pendengaranku dan beban yang teramat sarat yang menghempap bahuku. Tiba-tiba aku terkenangkan sejadah yang sering dihampar oleh Nurjannah isteriku. Dengan langkah yang longlai aku mengambil wuduk, Nurjannah hanya memerhati dari jauh. Di dalam bilik sembahyang aku mencari-cari sejadah yang terbentang. Tiada. Aku jatuh terduduk.

*Bersyukur apa yang ada itulebih baik dari lupa diri."

Monday, June 9, 2008

Kalau Tak Suka ... Pulangkan ...

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. 

"Horey! Papa balik!" Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya. 

"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya. 

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar. 

"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong. 

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka. 

"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila. 

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun. 

"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. 

"Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu. 

"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut. 

"Fail saya kat depan tu mana?" 

"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan." 

"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. 

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. 

"Laila...." Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa. 

--------------------------------------

"Saya nak ke out station minggu depan." 

"Lama?" Soal Laila. 

"Dalam seminggu." 

"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?" 

"Budak-budak? " 

"Ikut jugalah." 

"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu" 

"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi. 

"Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana." 

"Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad! 

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama. 

"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!" 

"Manalah saya ada masa.." 

"Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!" 

Dia tersentak dari khayalannya. 

"Kalau tak suka pulangkan balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. 

"Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. 

"Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah." 

"Papa! Makan!" Jerit Aiman,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. 

"Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?" 

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur. 

"Awak masak apa?" 

"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut. 

"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!" 

"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan. 

"Keluar!" 

"Mama dah masak Pa!" 

"Awak saja makan!" 

"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!" 

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. 

"Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. 

"Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan." 

"Abang tak suka tengok papa marah-marah. ." 

"Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?" 

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa? 

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong. 

"Laila.." serunya 

"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba. 

"Sunyi pulak rumah ni mak," 

"Lama-lama kau biasalah." 

Airmatanya menitis laju. 

"Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat. 

--------------------------------------

"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya. 

"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu." 

"Tak ada lah?" 

"Ingat papa ni cop duit?" 

Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang. 

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. 

"Awak tak sihat ke?" 

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan. 

"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya. 

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat. 

"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap. 

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman dipukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya. 

"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!" 

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak. 

"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. " Ujar Laila perlahan 

"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali. 

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka. 

"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. 

"Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. 

"Abang!" 

"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar. 

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan. 

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak. 

--------------------------------------

"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk. 

"Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti." 

Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. 

"Laila...." 

"Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. 

"Wangi-wangi lagi. Dating ye?" 

"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya. 

"Ikut boleh?" 

"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. 

"Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami." 

"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. " 

"Papa pesanlah.." 

"Nantilah besar sikit." Dalihnya. 

"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun." 

"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je," 

Laila terdiam. 

"Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki." 

"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." 

"Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan 
anak-anak?" 

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya. 

"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah. 

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan. 

"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. 

Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. 

"Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! " Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. 

Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa.. 

"Kalau tak suka pulangkan," 

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga. 

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.... 

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya. 

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi.. 

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan..

Saturday, June 7, 2008

No Body Perfect

Seorang wanita dan kekasihnya bernikah dan acara pernikahannya sungguh megah. Semua kawan-kawan dan keluarga mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia tersebut. Suatu acara yang luar biasa dan sungguh mengesankan. Kedua mempelai begitu anggun dan gagah dalam persalinan yang indah. Setiap pasang mata yang memandang setuju mengatakan bahawa mereka sungguh-sungguh saling menyintai dan sepadan. 

Beberapa bulan kemudian, si suami berkata kepada isterinya: "Sayang, abang baru membaca sebuah artikel dalam majalah tentang bagaimana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita", katanya sambil menunjukkan majalah tersebut.

"Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita. Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia ...".

Isterinya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik kerana ia adalah untuk kebaikan mereka bersama.

Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing. Esok pagi ketika sarapan, mereka sedia membincangkannya.

"Abang akan mulai dulu ya", kata suami. Ia lalu mengeluarkan senarainya. Banyak sekali yang ditulisnya, sekitar 2 muka surat ...

Ketika ia mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai mengenai diri isterinya, ia memperhatikan bahawa airmata isterinya mulai mengalir ...

"Maaf, apakah abang harus berhenti ?" tanyanya.

"Oh tidak, teruskan ..." jawab isterinya. Lalu si suami melanjutkan membacakan semua yang tersenarai, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia, "Sekarang giliran sayang pula membacakan senaraimu".

Dengan suara perlahan isterinya berkata, "Saya tidak mencatat sesuatupun di atas kertas saya. Bagi saya abang sudah sempurna, dan saya tidak ingin dan tidak akan mengubah dirimu Abang... Abang adalah tersendiri. Abang adalah pelengkap segala kekurangan saya.. Dan jika adapun kekurangan Abang, kekurangan itulah yg mendekatkan hati saya dengan Abang ..."

Si suami tersentak dan tersentuh hatinya oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati isterinya ... bahawa isterinya menerima dirinya seadanya. Dia kemudian tertunduk dan menangis ...

P/s: Sebelum kita mencari kekurangan orang lain, carilah kekurangan diri sendiri.

Adakah kita cukup SEMPURNA untuk dibandingkan dengan orang lain?... Kalau jawapan nya YA, maka kita berbohong atau kita PERASAN. Kerana tiada manusia yang SEMPURNA dalam dunia ini dan sentiasa ada yang perlu diperbaiki...

Wallahualam

"Hakikatnya orang-orang yang menyayangi diri kita kerana kelebihan kita dan menerima segala kelemahan kita, sudah pastilah orang ini adalah sangat ikhlas menyayangi diri kita... INSYA ALLAH."

Kasih Seorang Anak

Aniz Azyllea, seindah nama, secantik orangnya. Seorang gadis yang terpaksa melalui kehidupan yang bukan miliknya. Nyata, dia tidak punya pilihan. Bukan kehendaknya tika ibu bapanya bercerai. Bukan kehendaknya tika ibunya pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Bukan kehendaknya juga tika abahnya berkahwin dengan wanita yang tidak pernah dikenalinya. Apa yang mampu diputuskan dirinya sendiri dalam hidup yang penuh onak duri ini hanyalah menjadi seorang yang tabah. 

Dugaan datang kembali menghimpit dirinya. Kali ini, langit seperti menghempap dirinya. Ketegasan kata abah bagai menghukum dirinya. Sungguh, selama 16 tahun, dia belum puas merasa kasih sayang seorang insan bergelar abah. Keadaannya saat ini tidak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa. Namun, dia sedar bahawa, hitam kata abah, hitamlah katanya. Sekali lagi, keputusan bukan di dalam genggamannya dan dia tahu, saat menjejakkan kaki ke asrama SMK Raja Ali pasti tiba. 

Tika dia melangkah keluar dari rumah yang tidak pernah mengajarnya erti kebahagiaan, dia diiring dengan esak tangis ibu tirinya. Aniz tersenyum sendirian. Bukannya dia tidak bersimpati dengan mama tetapi dia tahu, mama punya agendanya yang tersendiri. Tanpa berlengah, Aniz terus sahaja melangkah ke dalam kereta, berharap agar hatinya tidak terpedaya dengan air mata mama. Esak tangis mama penuh dengan kepura-puraan. Sesungguhnya, Aniz tidak sanggup lagi tertipu dengan lakonan mama. 

Setiap dugaan, pasti ada hikmahnya. Kedatangan Aniz ke asrama sedikit sebanyak mengajarnya erti persahabatan. Suatu perhubungan yang tidak boleh dijual beli. Mujur, dia bertemu dengan Zaharah, insan yang memahami dirinya. Menerima dirinya seadanya. Pada Zaharahlah Aniz mengadu domba perihal kepincangan keluarganya, juga tentang mama yang tidak pernah menyayanginya. Zaharah tidak pernah sesekali mengajar Aniz membenci diri mama malah mengajar Aniz tentang kehebatan kasih seorang ibu. Aniz hanya perlu bersabar dan memberikan mama masa untuk menyesuaikan diri. 

'Outing', hari yang ditunggu-tunggu semua warga asrama SMK Raja Ali tetapi tidak pula bagi Aniz. Memang benar, dia rindu pada abah tetapi abah seringkali out-station mengikut kehendak syarikat. Apa yang membuatkan Aniz berkecil hati ialah abah tidak pernah menjenguknya walaupun sekali. Tambahan pula, abah seringkali membawa mama dan Rozana, adik tirinya bersama setiap kali out-station. Aniz hanya mampu menangis di dalam hati. Dia sedar, bukan abahnya yang perlu dipersalahkan. Bukan abahnya juga yang perlu memikul beban atas kesengsaraan yang dialaminya. Tetapi, jika lautan api yang menjadi taruhan bagi Aniz untuk meluahkan isi hatinya pada abah, lautan api jualah yang sanggup direnanginya. 

Kehadiran Encik Fahmi, ayah kepada Zaharah ternyata mengubah persepsinya terhadap kasih sayang seorang bapa. Aniz lebih senang memanggil Encik Fahmi sebagai Ayah Su. Kelembutan mak, Puan Etyllea pula menyedarkannya tentang kehebatan kasih seorang ibu. Walaupun Aniz bukan darah daging bagi keluarga Zaharah, namun Aniz dilayan tidak ubah seperti salah seorang daripada ahli keluarga tersebut. Di sinilah jua titik tolak pertemuannya dengan Abe Ma, abang kepada Zaharah. Keprihatinan Abe Ma terhadap dirinya betul-betul membuatkan dirinya rasa dihargai. Aniz bersyukur pada Tuhan kerana menganugerahkan keluarga padanya walaupun Aniz sedar, dia hidup menumpang kasih pada keluarga Zaharah. 

Hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah. Begitulah gambaran kehidupan Aniz di asrama bersama penghuni asrama yang lain. Walaupun Aniz baru menghuni asrama selama 6 bulan dan masih berasa kekok dengan kehidupan di asrama, ini tidak menghalang Aniz berkomunikasi dengan penghuni asrama yang lain. Keputusan akademiknya juga memberangsangkan. Aniz selalu berbincang dengan Zaharah tentang matapelajaran yang tidak difahaminya. Mereka juga selalu membuat ulangkaji bersama kerana sedar akan peperiksaan yang bakal menentukan di mana letaknya segala kesungguhan mereka selama ini. 

Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal diduduki mereka penghujung bulan Oktober benar-benar membuatkan mereka gentar. Sifat malas seringkali mengalpakan mereka tentang kepentingan peperiksaan tersebut namun atas nasihat guru-guru, mereka berazam untuk mencipta keputusan yang cemerlang untuk dibuktikan pada keluarga mereka. Pada mulanya, Aniz menghadapi masalah membiasakan dirinya dengan keadaan baru. Aniz juga tidak biasa duduk di asrama kerana dia sudah terbiasa dengan kehidupan di rumah yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan. Namun, permasalahan itu tidak pernah mengugat kesabarannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mendapat sedikit perhatian daripada insan yang bergelar abah. Aniz mahu abahya bangga dengan dirinya sepertimana abahnya bangga dengan Rozana. Lagipun, itulah satu-satunya cara untuk mendapat perhatian daripada mama. 

Penantian Aniz dan Zaharah akhirnya ternoktah apabila peperiksaan SPM tiba. Mereka berjuang berhabis-habisan untuk menjawab kertas peperiksaan seperti berjuang di medan perang. Segala petua yang diajarkan guru diaplikasikan sepenuhnya semasa menjawab kertas peperiksaan. Lupakan derita kerana Aniz hanya mahu fokus menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan sepenuh hatinya. Lupakan perhatian abah kerana saat ini hanya akal berperang dengan hati Aniz sendiri. Lupakan Ayah Su, Zaharah, Abe Ma, Rozana, mak dan mama buat seketika kerana Aniz tidak mahu keputusan yang ditentukan dirinya sendiri kali ini meragut harapan mereka. Akhirnya, Aniz berupaya membuat keputusannya sendiri dan hanya menunggu masa mengambil keputusan SPM yang akan menentukan segalanya. 

Takdir Tuhan tiada siapa yang kuasa melawannya. Tika manusia bergembira dengan keputusan peperiksaan SPM yang telah mereka cipta, Zaharah pula hanya mampu menangis. Bukan mengenangkan keputusannya, tetapi mengenangkan insan yang telah meninggalkan derita di dunia buat selama-lamanya. Cuma, Zaharah kesal. Kesal dengan sikap Aniz yang berahsia dengannya. Kesal kerana tidak mampu melindungi Aniz. Kesal kerana Aniz berpura-pura sihat untuk tidak membimbangkan dirinya. Kesal kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal pada Aniz. Sungguh, Zaharah kesal. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya tika ini. 

Buat pertama kalinya, abah menangis. Terasa dirinya benar-benar bodoh. Bodoh kerana tidak menghargai kehadiran Aniz. Bodoh kerana tidak cuba menyelami hati anaknya sendiri. Bodoh kerana tidak meluangkan masa bersama satu-satunya penghubung kasihnya dengan Zawani, arwah isterinya. Bodoh kerana membiarkan Aniz memendamkan rahsia kesihatannya. Sungguh, Anwar terasa dirinya bodoh. 

Di sudut lain pula, mama hanya mampu terkejut dengan berita kematian Aniz. Mama tidak merasa sedih. Tidak pula merasa kesal apatah lagi merasa dirinya bodoh. Akhirnya, mama berasa selamat kerana selama ini mama berasa terancam dengan kehadiran Aniz. Anwar pula tidak habis-habis memuji Aniz. Aniz itu. Aniz ini. Mama benar-benar bosan. Mama tersenyum sendirian sambil memeluk Rozana. Kemudian, mama menundukkan mukanya. Buat sekian kalinya, mama berpura-pura sedih. Tanah perkuburan menyaksikan esak tangis mama yang berbaur kepura-puraan. 

Zaharah menghampiri abah, mengambil kesempatan untuk menyerahkan amanat yang terpikul di bahunya yang berupa keputusan peperiksaan SPM Aniz yang dikirim Tuan Pengetua, Encik Nagindar, dan surat daripada salah seorang jururawat di Hospital Pusrawi. Surat tersebut ditulis daripada Aniz. Patutlah Aniz menghilang sebaik sahaja sekolah berhenti. Rupa-rupanya, Aniz bersabung dengan nyawa untuk melawan sakitnya. Pada abah, Aniz ceritakan yang dia tinggal bersama Zaharah walhal Zaharah langsung tidak tahu-menahu tentang hal tersebut. "Pak cik Anwar,” kata Zaharah sambil menghulurkan sampul surat biru. Abah terkejut dan hanya mampu menyambut huluran sampul biru tersebut. Tanpa berlengah, abah terus membuka slip keputusan peperiksaan SPM milik Aniz. Mata abah terpaku melihat deretan A pada slip keputusan tersebut. Abah tersenyum sendirian. Namun, dalam masa yang sama, abah bersedih. Sedih kerana saat ini abah tidak mampu memeluk anaknya sendiri untuk menyatakan betapa bangga dan bertuahnya abah dikurnikan zuriat seperti Aniz. 

Abah mengesat air matanya. Abah tahu, walaupun dia cuba sedaya upaya untuk menahan air matanya, dia tetap akan gagal. Kali ini, abah membuka sampul surat biru. Perlahan-lahan, mata abah menyoroti tiap perkataan dalam surat tersebut. 

-------------------------------------- 

Abah, 
Jangan ditangisi pemergian Aniz. Pada Aniz, tiada beza bagi abah jika Aniz hidup bersama abah atau tidak. Aniz bukan berlaku kejam. Aniz hanya menyatakan kebenaran. Maaf andai Aniz tersalah hitung kasih sayang yang abah curahkan. Sungguh, Aniz terharu dengan kehadiran Zaharah dalam hidup Aniz. Dia banyak mengajar Aniz erti sebuah keluarga. Aniz banyak berhutang dengannya. Namun, Aniz harus berterima kasih dengan abah kerana tanpa abah tidak mungkin terjalin persahabatan antara Aniz dan Zaharah. 

Abah, 
Niat di hati memang Aniz nak tulis sendiri surat ini. Tapi Aniz tak berdaya. Aniz minta tolong Kak Zarina tuliskan untuk Aniz.Minta maaf abah. Aniz betul-betul tak berdaya. Tentang punca penyakit Aniz, tak payahlah Aniz beritahu. Jika abah betul-betul inginkan kepastian,tanyalah Kak Zarina sendiri. Aniz nak minta maaf sebab tipu abah. Sepanjang cuti berhenti sekolah selama 2 bulan, Aniz tak pernah jejakkan kaki ke rumah Zaharah. Hidup Aniz hanya di Hospital Pusrawi. 

Abah, 
Ingat tak berapa kali kita pernah berjumpa? Seingat Aniz, selama Aniz berada di asrama, kita tak pernah berjumpa. Aniz rindu nak peluk abah. Aniz rindu nak cium tangan abah. Aniz rindu nak manja dengan abah. Aniz rindu nak berkongsi cerita dengan abah. Rindu sangat. Tapi, Aniz tak berpeluang. Aniz tak mampu nak jadi anak yang baik macam Rozana. Aniz tak mampu. Maaf sebab Aniz masih tak menerima mama sebagai pengganti kasih ibu. Bukan mama tak layak, Aniz yang tak layak. Aniz sedar siapa Aniz. Aniz tahusiapa Aniz di mata mama. Aniz tahu, abah. Aniz faham. 

Abah, 
Sebenarnya, hanya ibu sahaja yang tahu tentang penyakit Aniz. Ibu berkeras untuk bagitahu abah tapi, tak kesampaian. Ibu pula terlibat dengan kemalangan. Pihak hospital juga berkeras untuk beritahu abah, tetapi kesibukan tugas abah membantutkan pihak hospital. Hanya pada Abe Ma sahaja Aniz beritahu tentang penyakit Aniz. Akhirnya, Abe Ma yang menolong Aniz menyelesaikan masalah dengan pihak hospital. Dengan bantuan Abe Ma, Aniz dapat meneruskan rawatan di Hospital Pusrawi. Tapi abah, semuanya dah terlambat. 

Abah, 
Cukuplah luahan hati Aniz setakat ini. Aniz minta abah halalkan semua makan minum Aniz. Sayang, Aniz tak dapat peluk abah saat ini. Abah, Aniz sentiasa sayang abah. Kini dan selamanya. Maafkan Aniz, abah. Maafkan Aniz. 

-aniz- 

-------------------------- 

Abah melipat perlahan-lahan surat yang baru habis dibacanya. Tak terduga yang Aniz sungguh tabah menghadapi liku-liku hidup. "Maafkan abah, Aniz,” kata abah sambil memandang pusara Aniz. Lalu, abah bangun meninggalkan perkuburan Aniz dengan air mata yang berlinangan, sama seperti awan memuntahkan isinya. Abah reda.

Kassih Adelia

"Assalamualaikum, sayang. Dah lama tunggu?!" 

Sapaan Tuah mengejutkan Adelia yang telah lama menanti. 

"Waalaikumsalam. Kenapa awak selalu lambat? Ada date ngan orang lain ke?" 

"Hmm.." 

"Tuah…" 

Adelia merengus. 

"Selalu macam ni, dari kampus lagi. Awak nak makan apa?" 

"Masa kampus, saya lambat sebab saya nak layan ramai aweks. Sekarang saya ada sorang kekasih aje. Jadi sekarang saya sibuk uruskan pasal majlis pertunangan kita. Nak makan apa, sayang?!" 

"Sayanglah order dulu, Lia ikut sayang aje." 


Adelia menjawab lembut. Dengan senyuman manja, Adelia boleh menggegarkan iman Tuah. Sejak 4 tahun mereka berkawan, 2 tahun lepas. Adelia dan Tuah saling menerima diri masing-masing. Mengikat janji setia sebagai pasangan kekasih. Adelia adalah segala-galanya bagi Tuah. Walaupun Adelia, anak yatim dan serba kekurangan. Tuah tidak pernah kisah, bagi Tuah. Hanya Adelia insan yang boleh menceriakan hidupnya. 

"Tuah beruntung sebab ada sayang." 

"Lia pun, Lia sayang Tuah." 

"Kita kahwin." 

"Memanglah, kitakan dah janji." 

"Lia, hari raya keempat kita bertunang. Hari raya kelima lepas tu kita kahwin. Amacam?!" 

"Tuah, kan ke kita nak ikut planning umi? 3 bulan lepas tu baru kahwinlah." 

"Tak bolehlah, lama sangat. Tak sabar nak memiliki Lia." 

"Iyalah tu!" 

"Lepas tu kita dapat baby, Tuah nak anak kembar. Boleh ke, sayang?!" 

"Boleh… Tapi ada syarat. Lia nak majlis tunang Lia nanti. Lia nak mawar putih dalam setiap hantaran. Lia tak nak Tuah datang. Biar Umi aje yang datang. Sarungkan cincin, Tuah takyah datang ya." 

"Tuah nak datang, nak tengok sayang." 

"Boleh… Tapi tak boleh anak kembar lah." 

"Adelia." 

Adelia ketawa, seronok mengenakan buah hati kesayangannya. Tuah menjuih bibir. Hubungannya dan Tuah dibajai Adelia dengan kejujuran dan ketulusan. Malah dia dan Tuah sama-sama menjaga batas-batas hubungan dan kepercayaan antara mereka. Itulah yang mengukuhkan cinta yang disemai sejak 2 tahun lalu. 

----------------------- 

"Terima kasih, Tuah. Penuhi permintaan Lia." 

"Kalau tak sebab nak anak kembar, abang terpaksa batalkan niat nak tengok Lia jadi milik abang." 

"Abang?!" 

"Iyalah, sayang. Dah jadi tunang. Sayang kena panggil abang tau. Abang pulak akan panggil Adelia, sayang." 

"Abang, Lia sayang abang. Lia suka mawar putih tu. Lia nak simpan sampai bunga tu layu dan kering. Selagi bunga tu tak hancur, selagi iulah cinta Lia pada abang." 

"Terima kasih, sayang. Abang bagi 8 kuntum kan?" 

"Apalah abang ni, 12 kuntum. Lia nak tanya abang, kenapa bagi gelang dan rantai sekali? Membazir aje." 

"Untuk sayang, nyawa pun abang sanggup gadaikan. Oklah sayang. Abang ada kerja sikit. Sayang bila nak balik KL? Abang rindu." 

"Lia ada cuti 6 hari lagi. Esok Lia nak ke hospital." 

"Kenapa?!" 


Tuah cemas. Terdengar tawa manja Adelia. 

"Lia nak buat medical check up. Nak kena hantar masa pendaftaran Master nanti." 

"Ooo… Sayang buat abang risau. Jaga diri, sayang. Tidur awal tau. Jangan buat kerja berat-berat. I love you." 

"Lia pun." 

"Assalamualaikum." 

"Waalaikumsalam." 


Tuah mematikan talian, video yang diambil Tajol di hari pertunangan Adelia ditonton lagi. Sejak Tajol dan keluarganya kembali ke KL semalam, video itu hampir setiap hari ditontonnya, kemanisan dan keayuan Adelia di hari pertunangannya. Adelia sudah memakai tudung, itu janjinya andai dia dan Tuah bertunang. Segala-galanya milik Tuah, Tuah bersyukur. Adelia insan yang paling memahaminya. Malah hubungan mereka direstui oleh adik beradik Adelia dan keluarga Tuah. Busana putih susu yang digandingkan dengan warna keemasan, menambahkan keayuan dan kecantikan Adelia. Tuah tersenyum, bangga bila mengenangkan Adelia sudah bergelar tunangannya. 

Dulu dia tidak pernah menghargai Adelia. Adelia hadir di sisinya sebagai teman paling rapatnya sejak di semester satu. Dia dan Adelia saling menjaga antara satu sama lain. Adelia tidak pernah berkecil hati dengan Tuah bila Tuah mendampingi gadis lain. Bagi Adelia, Tuah tidak lebih dari seorang kawan, begitu juga Adelia. Hinggalah di tahun akhir pengajian, Tuah mulai menyedai kehadiran Adelia, itupun tatkala Adelia sering menceritakan tentang perancangan Along nya untuk menjodohkannya dengan Dr Hakimi. Sepupunya. Tuah mulai cemburukan Adelia. Lantas sebaik mereka menerima Ijazah di hari graduasi, Tuah menyatakan hasrat hatinya pada Adelia, ternyata cinta Tuah disambut gembira oleh Adelia. Tuah bersyukur. 


"Lia, Tuah rindu." 

----------------------- 

"Maafkan Lia, Tuah." 

"Kenapa?! Kenapa?! Buat abang macam ni?!" 

"Lia tipu awak selama ni, Lia tak pernah sayangkan awak. Lia hanya anggap awak macam kawan. Tak lebih dari tu.Lia dah tak boleh menipu diri Lia lagi. Lia penat membohongi perasaan Lia dan mainkan perasaan Tuah." 

"Tipu?!! Kau tipu aku!!! 2 tahun kau kata kau main-main. Jangan bodohkan aku, Lia!!!" 

"Lia memang tipu kau, Lia sayangkan Hakimi. Lia baru sedar yang selama ni, hati Lia untuk Hakimi bukan untuk Tuah. Maafkan Lia, Tuah." 

"Kau malukan Umi, kau malukan keluarga aku. Apa salah kami kau buat kami macam ni?!" 

"Lia tak sanggup menipu lagi, Lia tak sanggup hidup susah dengan Tuah." 

"Adelia!!!" 

"Lia orang susah, Lia dah serik hidup susah selama ni. Bisnes Tuah belum tentu boleh menampung hidup Lia dan anak-anak nanti." 

"Cukup!!! Aku tak nak dengar semua tu lagi." 

"Ni jemputan Lia. Lia harap Tuah boleh datang." 

Adelia cuba berlalu, Tuah merentap lengan Adelia. Kasar. 

"Aku akan miliki kau sebelum kau jadi milik Hakimi." 

"Jangan jadi bodoh, Tuah! Aku jijik dengan sentuhan dan perbuatan kau. Aku jijik!!" 


Tuah cuba mencium wajah Adelia dengan rakus. Namun tolakan kasar Adelia mematikan perbuatan Tuah. Adelia merenung wajah Tuah. 

"Pandang muka kau pun aku jijik, Tuah. Masakan aku boleh membiarkan kau menyentuh aku, sebab itu selama ini aku haramkan kau sentuh anggota badanku. Walaupun tangan sekalipun. Aku jijik dengan kau dan keluarga kau. Aku jijik!!!" 

"Pang!!!" 


Airmata yang ditampung sebentar tadi merembes keluar. Bersama keperitan pipi kirinya yang baru disentuh kasar oleh Tuah. Adelia cuba bertahan. Biar pipi kirinya hancur sekalipun, Baginya Tuah tidak memberi makna apa-apa. Tuah insan jijik di pandangan Adelia. Tuah menangisi nasib dirinya, dihina oleh insan yang amat disayanginya. Adelia berlalu tanpa simpati. Tuah memandu pulang, sebaik Umi melihat Tuah. Seisi keluarga menyerbu kearah Tuah. 

"Alang, kenapa Adelia pulangkan semua ni? Apa dah jadi?" 

"Dia nak putuskan pertunangan, dia dah ada pengganti yang lebih baik." 

"Kenapa malukan kita macam ni?! Apa kita nak buat dengan barang-barang ni?" 

Dulang hantaran yang pernah diberikan pada Adelia sebulan lepas masih berbungkus rapi. Tuah semakin baran melihatkan hantaran yang lansung tidak terusik. 

"Buang semua ni! Aku tak nak tengok semua ni lagi!!" 

Serentak itu, Tuah menyepak dan menghancurkan hantaran yang tersusun di ruang tamu rumahnya. Umi dan adik beradiknya cuba menghalang. Namun gagal, segalanya hancur dikerjakan Tuah. 

"Betul kau nak pergi Tuah?!" 

"Aku nak tengok dari jauh. Aku nak tengok kebahagian Adelia mengahwini Hakimi." 

"Tuah, kau jangan menyesal tau. Nanti kau menangis, sapa nak pujuk." 

Zali mengusik, mereka tiba di rumah Adelia di waktu tengahari. Penuh kenderaan di susur masuk ke rumah Adelia. Tuah mulai memendam rasa. Zali dan Samad tersengih melihatkan Tuah yang tidak senang duduk. Mereka yang datang berkonvoi 2 buah kereta dari Kuala Lumpur, mulai mencari parking. 

"Aku rasa pelik lah, Win." 

Shahira dan Azwin mulai pelik bila, melihatkan beberapa orang yang berselisih dengan mereka berkopiah dan kesedihan. Samad dan Zali tidak putus-putus memujuk Tuah. 

"Kalau kau tak nak masuk, kau tunggulah. Aku dan Samad nak isi perut. Lantak kaulah Tuah. Sapa suruh datang." 

Kawan-kawan Adelia disambut Azim dimuka pintu. Pelik Shahira, Rosma dan Azwin bila tiada pelamin ataupun khemah pengantin. Azim membawa rakan-rakan Adelia ke bilik. 

"Abang… Abang Tuah tak datang?! Kak Lia nak sangat jumpa abang Tuah." 

"Adelia…" 


Terduduk Rosma bila melihatkan tubuh kaku temannya. Hakimi menyambut. 

"Lia dah tak nampak dan tak boleh bergerak macam dulu." 

"Ya allah! Sejak bila dia macam ni?!" 


Samad kembali ke kereta selepas mengetahui keadaan Adelia. Diambilnya yassin dan kopiah. 

"Kau nak ikut aku atau tak, Tuah?!!" 

"Kenapa pulak?! Kau nak paksa-paksa aku?" 

"Aku ulang Tuah, kalau kau tak nak menyesal kau ikut aku Tuah. Adelia dah teruk sangat." 

"Mengarutlah. Kau pergilah, sampaikan salam aku pada dia kerana pernah melukakan hati aku." 

"Kau jangan menyesal!!!" 

Tuah kembali menyandar, hairan dengan sikap Samad yang emosional. Sedang asyik Tuah mendengar alunan muzik dari radio. Tingkap kereta diketuk seseorang. Azim?! Tuah pelik. 

"Kenapa abang tak masuk?!" 

"Abang…. Abang…" 

"Kak Lia nak sangat-sangat jumpa abang. Tolonglah, bang. Azim rayu kat kaki abang. Masuklah jenguk Kak Lia. Mungkin ini untuk kali terakhir." 

"Abang tak sanggup, dik." 


Tuah meraup mukanya. 

"Azim tahu, abang dan Kak Lia masih menyayangi antara satu sama lain. Kak Lia kecewakan abang. Azim minta maaf. Tapi Azim minta sangat-sangat, sebelum Kak Lia ‘pergi’ abang jenguklah dia. Tolonglah." 

Azim menangis dan merayu. Tuah pelik, takkan Adeliasekejam ini. Memaksa dirinya untuk menghadiri majlis bahagianya dengan Hakimi. Tuah tak sanggup melihat Adelia bersanding di pelamin bersama Hakimi. Jiwanya hancur setelah diketahui Adelia memainkan perasaannya selama ini. Kali ini, apa pula lakonan Adelia?! Azim masih merayu. Tuah kaku. 

"Kak Lia dah nak mati, abang Tuah." 

Suara Achik mengejutkan Tuah. Tipu?! Adelia gadis riang, yang tak pernah bersedih. Tak pernah menangis atau kecewa. Adelia gadis riang yang hanya tahu ketawa dan tersenyum. Mana mungkin Adelia akan mati. Tak mungkin?! Ini hari bahagia Adelia dan Hakimi. 

"Abang tak percaya?! Kak Lia dah nazak. Kak Lia nak jumpa abang. Untuk kali terakhir." 

"Adelia!!!" 


Tuah meraung, tangga kayu rumah Adelia dipanjat. Semua orang pelik dengan tindakan Tuah. Mencari-cari Adelia, Tuah semakin lemah bila kedengaran bacaan Yassin dalam segenap ruang di rumah usang milik Adelia. Tuah gagahkan diri, bertahan menghadapi kenyataan. Hakimi memeluk Tuah. Erat. Seolah antara mereka berkongsi kesedihan yang sama. Tuah cuba menghampiri bilik Adelia. 

"Kau jangan tipu aku, Kimi. Jangan mainkan aku seperti mana Adelia mainkan perasaan cinta aku padanya." 

"Sabar, Tuah. Adelia bukan milikku. Dan bukan jua milikmu. Adelia akan tinggalkan kita bila-bila masa." 

"Lia…." 

Tuah terjelepok di lantai. Hakim membantu Tuah menghampiri Adelia yang kaku. Tanpa suara ataupun pergerakan, hanya mata membuntang memandang ke atas. Adelia masih mampu tersenyum. 

"Lia… Tuah datang." 

Rosma dan Azwin yang menemani Adelia di kiri dan kanan berbisik ke telinga Adelia, airmata Adelia menitis. Menyambut kehadiran Tuah. Tuah kaku, takut menerima hakikat Adelia akan pergi untuk selamanya. Along, Angah dan beberapa orang lain hanya mampu mengalirkan airmata. 

"Tuah…. Tuah…." 

Bibir Adelia bergerak-gerak memanggil Tuah. Tuah mengucup tangan Adelia. Jutaan keampunan Tuah rayu dari Adelia, namun hanya kesepian yang melanda. 

"Lia, Tuah datang. Berbicaralah dengan Tuah, sayang. Kenapa Lia tak beritahu semua ni pada Tuah?!" 

"Tuah… Maafkan Lia." 


Gerakan bibir Adelia menambah sebak di dada Tuah. Airmatanya mengalir. Tiada lagi suara manja Adelia. 

"Sejak 2 hari lepas Lia dah tak boleh bercakap, Tuah. Malah Lia dah tak boleh melihat. Sekarang Lia hanya boleh mendengar. Berbicaralah dengan dia, Tuah. Dia nak sangat jumpa kau." 

Hakimi memegang bahu Tuah. Hakimi membawa diri, keluar dari bilik Adelia. Tak sanggup melihat kemesraan antara Tuah dan Adelia. 

"Lia, aku minta maaf. Jangan tinggalkan aku, Lia." 

Pipi Adelia yang cengkung, diusap lembut oleh Tuah. Menyesal, kerana pipi itu pernah menjadi tempat singgahan tamparan kasarnya. 

"Tuah… Terima kasih kerana datang." 

Adelia tersenyum, bibir yang dulunya sentiasa merah dan tersenyum. Kini ianya pucat dan kering. Malah pecah-pecah akibat Adelia yang terlantar sejak beberapa minggu lalu. Adelia menarik nafas. Masing-masing mulai khuatir. Hakimi kembali ke bilik, bila Along mulai memanggil. 

"Izinkan Lia pergi. Masa Lia dah sampai, Lia nampak abah dan ibu. Along… Angah… Maafkan Lia." 

"Mengucap Lia. Mengucap. Along maafkan Lia. Along halalkan semuanya." 


Masing-masing menangis hiba. Sukar untuk dilepaskan pemergian seorang teman sebaik Adelia. Rosma memeluk Adelia erat. Pipi Adelia dicium, airmata sudah berhamburan keluar. Tiada kata-kata yang boleh diluahkan lagi, melainkan melepaskan Adelia pergi dengan aman. Selesai kalimah syahadat di lafaz oleh Adelia, Adelia terus menutup mata. Tuah menangis hiba. Azim dan Achik terus menghilang. Akhirnya Adelia pergi jua. 

"Dia tunggu Tuah datang. Dia nak sangat jumpa Tuah. Terima kasih Tuah, sebab sudi datang jenguk Adelia." 

"Kenapa Along tak bagitahu Tuah awal-awal lagi?!" 

"Adelia tak kasi. Dia kata kau akan datang, aku pernah bagitahu aku akan call kau. Tapi Adelia menegah, dia yakin kau datang. Dia nak minta kau maafkan dia. Dia bagi surat ni untuk kau." 

"Aku tak pernah marahkan Lia, Kimi. Aku tak boleh nak benci dia. Dia terlalu baik. Tapi aku yang bodoh! Aku tergamak tampar dia. Aku bodoh!!!" 

"Sabar Tuah, kita sama-sama doakan dia. Semoga rohnya aman dan sejahtera di sana." 

Angah menghulur Yassin dan kopiah pada Tuah dan Hakimi. Semua teman Adelia sebanyak mungkin menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci buat Adelia. Sebaik jenazah selesai dikebumikan, teman-teman Adelia masih setia membantu keluarga Adelia menguruskan majlis arwah untuk Adelia. Tuah dan Azim membersihkan bilik Adelia selepas sehari pengebumian Adelia. 

"Azim… Kenapa dengan bunga-bunga kering ni? Mana Kak Lia dapat?!" 

Kuntuman bunga-bunga mawar kering tersebut dikutip Tuah. Satu persatu. 

"Abang lupa ke?" 

Tuah hairan dengan jawapan Azim, kuntuman bunga-bunga kering yang berteraburan di bilik arwah Adelia menjadi tumpuan Tuah. 


"Ini 12 kuntuman mawar putih yang abang bagi bersama hantaran pertunangan abang. Abang lupa ke?!" 

"Ya allah!" 


Tuah meraup muka, kesal kerana tidak pernah terlintas tentang ketiadaan kuntuman mawar putih di setiap dulang hantaran, ketika arwah memulangkan kembali hantaran pertunangan mereka. Tuah cuba menahan diri. Terimbas kembali suara gembira arwah dengan pemberian 12 kuntuman mawar putih tersebut di hari pertunangan mereka. 

"Abang, Lia sayang abang. Lia suka mawar putih tu. Lia nak simpan sampai bunga tu layu dan kering. Selagi bunga tu tak hancur, selagi iulah cinta Lia pada abang." 

"Lia… Kenapa seksa abang macam ni?!" 


Azim mendekati Tuah. Sukar dimengertikan bagi Azim bila melihatkan reaksi Tuah. Sejak arwah tiada, Tuah lah yang menggunakan bilik arwah. Semua barang-barang arwah dikemaskan oleh Tuah. 

"Kalau Azim tahu, Kak Lia dan abang saling menyintai. Azim takkan setuju dengan Along. Azim takkan paksa Kak Lia terima abang Kimi. Sejak Kak Lia putuskan hubungan dengan abang. Kak Lia banyak termenung. Kekadang airmatanya menitis. Kak Lia kerap termenung di beranda. Azim tak tahu, itu petanda bahawa Kak Lia akan tinggalkan kami. Kalaulah Azim tahu, tak sesekali Azim biar Kak Lia menangis. Maafkan kami, abang. Maafkan Along dan Achik. Kami tak tahu." 

"Entahlah, Azim. Abang pun buntu. Abang menuduh Kak Lia macam-macam, malah… Malah…Tangan abang singgah ke pipi Kak Lia. Abang bodoh!!" 

"Abang…" 

"Abang kesal, abang tampar Kak Lia. Abang tak tahu dia sakit. Kalaulah abang tahu." 

"Hanya Allah swt Yang Mengetahui, bang. Kita banyak silap dengan Kak Lia. Tapi Kak Lia tak pernah marah, tak pernah berkecil hati." 

Selepas seminggu Tuah berada di kampung Adelia, Tuah kembali ke Kuala Lumpur. Bersama surat terakhir pemberian Adelia dan 12 kuntum bunga kesayangan Adelia. 

‘Assalamualaikum Tuah… 

Maafkan Lia, maafkan Lia, Tuah. Setiap malam Lia menyesali kebodohan Lia. Lia hancurkan hati dan impian Tuah. Hidup Lia tak aman, tidur Lia tak lena. Setiap hari Lia ingat tentang pertemuan terakhir kita, pertemuan yang membuatkan Tuah membenci Lia seumur hidup. Hati Lia hancur melihat airmata Tuah tika itu. Tapi apakan daya, biarlah Tuah kecewa hari tu daripada Tuah sama-sama menderitai penyakit yang Lia hidapi tika ini. 

Tuah… 

Lia minta dari Tuah, lepaskan cinta Tuah kepada Lia. Kita tiada jodoh Tuah. Walau segunung kasih dan cinta Tuah pada Lia. Kuasa Allah swt membataskan segalanya. Lia harap Tuah dapat menerima semua ini. Kita hanya sahabat akrab, dan itulah takdir Allah swt. Pada umi dan keluarga Tuah, Lia susun 10 jari memohon maaf dari mereka. Andai berkesempatan ingin Lia sujud di kaki setiap ahli keluarga Tuah memohon maaf. Lia kecewakan mereka, Lia minta maaf. Setiapkali Lia sujud menyembahNya, Lia memohon agar tindakan Lia pada Tuah dan keluarga akan dimaafkan. Masa Lia tidak panjang. 

Lia memang sayangkan abang Kimi. Abang Kimi separuh dari kehidupan Lia.. Dari Lia mengenal ABC, hingga Lia bergelar graduan. Abang Kimi yang banyak membantu Lia. Lia terlalu sayangkan abang Kimi, seperti Lia sayangkan Angah. Lia sakit Tuah, hidup Lia tak panjang. Esok ataupun lusa, ataupun sebulan akan datang. Lia mungkin akan mengadap Yang Maha Esa. Menghitung dosa dan pahala. Lia di alam sana, Tuah. Sepanjang hidup Lia hanya menerima dari abang Kimi. Kali ini Lia minta Tuah memahami, Lia Cuma mahu abang Kimi menerima sesuatu dari Lia. Lia mahu abang Kimi bahagia dengan memiliki Lia. Ampunkan Lia Tuah. Lia diberi peluang singkat dalam hidup Lia. Dan peluang ini Lia tahu, abang Kimi lebih layak. Maafkan Lia. 

Dikesempatan ini, Lia tidak tahu bagaimana nasib Lia. Lia masih derita dengan penyakit ini, ataupun Dia telah menjemput Lia. Maafkan Lia dan halalkan segala-galanya. 

Sahabatmu, 
Adelia. 

Tuah melipat surat tersebut. Diselitkan di dalam sebuah kotak beserta 12 kuntuman bunga milik arwah Adelia. 

"Tenanglah kau, sahabatku Adelia. Insyaallah. Cinta dan sayang aku pada kau takkan sesekali padam. Maafkan aku Adelia, takkan sesekali aku melepaskanmu." 

‘Andai tibanya waktu… 
Aku harus tinggalkanmu… 
Akan aku berlalu bila tiba saat itu… 
Tak perlu kau merayu dan tak perlu menahanku… 
Segala yang terjadi kehendakNya…’ 


Tuah memperlahankan radio, senikata lagu tersebut mengayat hati Tuah. Mengingatkan memori cinta dan persahabatannya dengan arwah Adelia.

Aku Akan Menjagamu

"Hai Sham." Wanita manis berusia 29 tahun itu menepuk bahuku lalu mengambil tempat di hadapanku. Aku mengerling jam Swatch di pergelangan tanganku. Wanita yang bergelar doctor di hadapanku senyum. Manis sekali senyumannya. Entah mengapa, baru-baru ini senyumannya sering menemani tidurku. Suara manjanya sering terngiang-ngiang di telingaku. Sebelum aku melenakan mata, pasti wajah manisnya akan menjelma di mindaku. Sudah terlalu lama rasanya aku tidak merasakan perasaan ini. Indah sekali. Namun aku paling benci rindu yang mendatang. Seksa rasanya merindui seseorang. 

"Sorry Alya lambat. Ada accident kat highway tadi." Aku tidak menjawab malah sengaja tidak memandang ke arahnya. Aku berpura-pura kecil hati dengan kelewatannya. Alya memandang ke arahku. "Sham marah ke? Alya betul-betul minta maaf. I’m so sorry." Aku ketawa mendengar ucapan maafnya yang tidak ubah seperti sedang memujuk kekasih hati. Aku tertanya sendiri. Inikah hubunganku dengan Alya sebenarnya? Adakah dia kekasihku? Tetapi antara kami tidak pernah terlintas perkataan sayang. Tetapi kami tetap begini. Bertemu setiap minggu, menghabiskan masa bersama. 

"Sham main-mainkan Alya ya? Nak kena cubit ni!" Gurau Alya yang turut ketawa. Aku tersenyum bahagia melihat Alya. Menyedari dirinya direnung, dia berhenti ketawa lalu mengambil menu di atas meja. "Sham dah makan? Alya laparlah." Rengeknya sambil membelek-belek menu. 

"Belum lagi. Tunggu awek Sham sampai. Lambat betul dia." Jawabku sambil merampas menu di tangannya. Alya terpampan. Mungkin terkejut kerana aku menjawab begitu. Sambil memilih sarapan, aku sedar Alya merenungku. "Sham handsome, kan?" Usikku. Alya menjelirkan lidah. 

Perjalanan menuju ke rumah kebajikan yang Alya sebutkan mengambil masa hampir empat puluh lima minit kerana kesesakan jalan raya. Kali ini sudah kali kedua aku berjanji untuk menemani Alya ke rumah kebajikan Nur. Alya merupakan salah seorang sukarelawan yang menyumbang bakti untuk pesakit Aids. Sebenarnya aku tidak begitu berminat untuk menemani Alya kerana aku sibuk menguruskan projek pembinaan bangunan 40 tingkat di Dang Wangi. Tetapi kerana Alya sering mendesak, akhirnya aku mengalah. Sudah hampir tiga minggu aku tidak bertemu dengan Alya. Alya tidak pernah merungut malah dia memahami. Tugasnya sebagai doctor perubatan juga menjarakkan hubungan kami. Namun kali ini dia tetap mahu aku menemaninya. 

Kata Alya, hari ini ada majlis untuk para penghuni rumah kebajikan Nur. Dia mahu aku turut membantu. Mungkin bagus juga jika aku datang membantu. Sudah terlalu lama aku tidak bertemu dengan teman-teman baru. Semua ini kerana aku terlalu sibuk. Dua hari lepas aku pulang ke rumah pada jam 4 pagi kerana menyiapkan kerja di pejabat. Pulang sahaja, aku terus tertidur dalam bilikku yang sangat bersepah. Pada keesokan paginya, aku terus pergi ke pejabat tanpa mengemas rumah. Aku berjanji pada diriku sendiri untuk mengemaskan rumah sebaik aku tiba di rumah hari ini. 

Aku dan Alya berjalan beriringan masuk ke rumah kebajikan Nur. Di padang kecil di belakang banglo dua tingkat itu terdapat banyak kanak-kanak. Banyak kerusi yang telah disusun dan belon pelbagai warna diikat pada setiap kerusi. Kanak-kanak itu kelihatan gembira sekali. Mereka saling berkejaran bagai tiada masalah yang dihadapi. Hakikatnya mereka mempunyai masalah yang lebih besar daripada Perdana Menteri. Kasihan mereka, bisik hatiku. Mungkinkah mereka mengerti masalah mereka sebenarnya? Apakah nasib mereka apabila usia mereka meningkat? Dalam hatiku berdetik perasaan syukur kerana ada insan yang begitu ikhlas membantu kanak-kanak malang ini. 

"Sham, jom Alya kenalkan dengan pemilik rumah kebajikan ni." Alya menarik tanganku. Aku hanya mengikut. Kami berjalan menuju ke padang kecil di mana kanak-kanak itu berada. Kanak-kanak itu rata-ratanya berusia tujuh tahun. Mereka ketawa sambil menyusun kerusi yang jatuh. Ada yang sedang meniup belon. Aku senyum melihat mereka termengah-mengah kerana terlalu asyik meniup belon. Sedang aku berjalan, seorang kanak-kanak melanggarku dan jatuh. Aku terus mendukungnya. 

"Uncle minta maaf, adik. Sakit tak?" Tanyaku. Kanak-kanak perempuan berusia lingkungan lima tahun itu menggeleng-gelengkan kepala. Mungkin takut kerana tidak pernah bertemu denganku. Aku usap kepalanya lalu menurunkannya kembali. Dia terus berlari ke arah kawan-kawannya. 

"Sham, kenalkan, Nur Zulaikha." Aku terkedu apabila memandang wanita bertudung putih di hadapanku. Nur Zulaikha di hadapanku juga terpaku. 

"Assalamualaikum." Tegurku. Nur Zulaikha teragak-agak untuk menjawab salamku. Aku memperkenalkan diri. Dia hanya menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih kerana sudi hadir. Suaranya terketar-ketar. Dia berkata sesuatu pada Alya. Sesekali dia menjeling ke arahku. Bila menyedari yang aku tahu dia memandangku, dia terus melarikan pandangan. Seketika kemudian dia meminta diri. Aku melihat dia pergi. 

Aku membantu Alya menyusun pinggan. Aku tercari-cari Nur Zulaikha. Dia sedang bersama kanak-kanak itu. Apabila dia datang hampir, kanak-kanak itu mula mengerumuninya. Dia menggenggam tangan dua orang kanak-kanak lalu mencium pipi mereka. Demi ALLAH, dulu aku pernah bermimpi untuk hidup bersama Nur Zulaikha. Suatu ketika dulu aku pernah bermimpi untuk melihat Nur Zulaikha bersama anak-anak kami sebegitu. Hatiku terasa sakit melihat Nur Zulaikha. Tidak mungkin dia tidak mengenaliku. Tadi mengapa dia kelihatan gugup berhadapan denganku jika dia sudah lupa akanku? 

Majlis berlangsung dengan meriah. Aku duduk di bawah pokok, melayan perasaan. Nur Zulaikha … Zue … Sudah lama aku tidak berfikir mengenai dirinya dan hari ini dia muncul kembali di hadapanku. Tidak pernah aku sangka aku akan bertemu lagi dengannya. Seperti mana aku tidak pernah menyangka yang aku akan kehilangan dirinya. Dia pergi tanpa sebarang pesan. Kini dia hadir. Zue sedang sibuk melayan tetamu yang hadir. Dia tersenyum ceria. Senyumannya tetap manis seperti dahulu. Senyuman itulah yang membuatkan aku pernah hampir gila. Aku menutup mata, mula membayangkan kembali saat aku pernah bersamanya. Sudah lapan tahun aku tidak bertemu Zue … 

"Kenapa awak panggil kite Zue? Nama kite Ika, bukan Zue!" Keletah kanak-kanak sebaya denganku itu mencuit hatiku. Cikgu tadika kami sedang menjaga kawan-kawan kami yang lain yang sedang bermain papan gelongsor. Hanya aku dan Zue sahaja yang sedang duduk di atas padang rumput. Aku duduk mengunjurkan kaki. 

"Sebab aku suka kau!" Lancang mulutku menuturkan kata-kata itu. Zue kelihatan terkejut. "Kau suka aku tak?" Tanyaku apabila Zue mendiamkan diri. 

"Tak! Awak jahat!" Zue bangun lalu menyertai kawan-kawannya sedang bermain buaian. Di kejauhan, aku dapat lihat dia senyum ke arahku. Tengahari itu, aku pulang ke rumah berpimpinan tangan dengannya. Aku terasa geli hati. Kanak-kanak berusia enam tahun sudah mengenal apa itu cinta. Aku sendiri rasa tidak percaya apabila aku terus menyimpan perasaan pada Zue sehinggalah kami ke sekolah menengah. 

Tidak seperti aku, Zue merupakan pelajar yang bijak sedangkan aku sering berada di kelas terakhir. Walaupun begitu, entah mengapa aku yakin ada sesuatu antara aku dan Zue walaupun tidak pernah terluah. Zue ada segala-galanya. Dia memegang jawatan dalam persatuan, dia aktif dalam sukan dan pernah mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan. Pernah Zue menerima anugerah pelajar cemerlang kerana mewakili negeri Selangor ke peringkat Kebangsaan dalam pertandingan debat ala parlimen. Zue juga pernah mewakili sekolah dalam pertandingan olahraga sehingga ke peringkat negeri. Kerana aku, Zue tidak dapat mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan. 

Kerana aku tidak sengaja telah terlanggarnya dengan motosikal. Waktu itu aku sedang melepak bersama teman-teman. Seorang demi seorang menunjukkan aksi mereka memecut. Tidak aku duga, Zue sedang melintas jalan. Aku gagal mengawal motosikal dan dalam sekelip mata, tubuh Zue terhempas ke sisi jalan. Aku segera menghentikan motosikal dan berlari ke arah Zue. Wajahnya berdarah. Matanya terbuka. Perlahan-lahan dia cuba menghembuskan nafas. Matanya memandang ke arahku. Hanya ALLAH yang tahu betapa gentarnya hatiku saat itu. Terlalu banyak persoalan yang bermain di mindaku saat itu. Bagaimana jika Zue ... Bagaimana jika dia tidak selamat? Dalam keadaan mencemaskan itu, dia menggenggam tanganku. 

"Tolong jangan tinggalkan saya. Saya takut … Badan saya tak boleh bergerak …" Perlahan tuturnya. Darah yang mengalir di dahinya bercampur dengan air mata yang mengalir. Air mataku juga mengalir. Aku menggenggam tangan Zue. Beberapa ketika kemudian teman-temanku datang. 

"Call ambulans!" Jeritku. Aku menggenggam tangan Zue sepanjang perjalanan ke hospital. Matanya berkedip berkali-kali. Bibir Zue tidak putus-putus memintaku supaya tidak meninggalkannya. Tiba di hospital, Zue dikejarkan ke bilik rawatan kecemasan. Debaran hatiku tidak tertanggung lagi. Aku terasa air mataku ingin mengalir. Aku duduk menunggu dengan perasaan gelisah, resah, takut … Dalam hatiku tidak berhenti berdoa. Semoga Zue selamat. Aku akan bertanggungjawab sepenuhnya asalkan Zue selamat. 

Zue terpaksa tinggal di hospital selama beberapa hari kerana tangan kirinya patah. Sewaktu ibu bapa Zue datang, aku terus memohon maaf. Aku mengaku kesalahanku. Aku tidak mampu memandang ke arah bapa Zue yang merenungku tajam. Dadanya berombak kencang. Ibu Zue mengusap lembut lengan bapa Zue. Sekilas bapa Zue memandang isterinya dan menarik nafas dalam-dalam. 

"Sudahlah. Yang penting Zue selamat. InsyaALLAH Zue akan sembuh." Perlahan-lahan bapa Zue menuturkan kata-kata kemaafan itu. Aku hanya menganggukkan kepala dan menunggu di luar bilik Zue. Hampir dua jam kemudian, ibu bapa Zue keluar. Mereka kelihatan terkejut kerana aku masih berada di situ. 

"Kamu tak balik lagi?"Tanya ibu Zue. Aku menggelengkan kepala. 

"Saya nak tengok Zue … err … Ika." Aku tidak berani memandang kea rah bapa Zue yang sedang merenungku. 

"Tak payahlah. Nanti Umi jaga Ika. Kamu baliklah. Ika tak apa-apa." Aku terasa ingin menangis. Sejak tadi semua orang menyalahkanku termasuklah ibu bapaku sendiri. Kawan-kawanku pula hanya mendiamkan diri, seakan menyalahkanku. Hanya ibu Zue yang tidak menyalahkanku. Aku hanya menundukkan kepala. "Umi tahu kamu rasa bersalah tapi perkara dah jadi, kita jadikan iktibar." Aku masih tidak mampu mengangkat kepala. Air mataku bergenang. 

"Saya minta maaf banyak-banyak, mak cik, pak cik. Saya salah." Ucapku. Aku cuba untuk menahan esakan. Tiba-tiba ada dua tangan diletakkan di bahuku. 

"Bagus! Kamu mengaku kesalahan kamu." Aku mendongak. Bapa Zue meletakkan kedua belah tangannya di bahuku. "Kalau kami nak marah pun, bukan kami boleh undur masa, kan? Sudahlah. Kami maafkan kamu." Aku benar-benar terharu sehingga air mataku merembes lagi tapi cepat-cepat aku mengusapnya. Bapa Zue senyum. Dengan sedaya upaya aku cuba membalas senyumannya. 

"Kamu tolong jaga Ika, boleh? Kami nak balik rumah, nak ambil barang Ika." Aku menganggukkan kepala. Aku menghantar ibu bapa Zue ke kereta dan segera berlari masuk ke bilik Zue. Zue sedang lena. Aku duduk di sisinya. Kepalanya berbalut. Kata doctor, mujur tiada sebarang retak pada kepalanya. Hanya tangan kirinya yang patah. Aku yakin aku yang menyebabkannya patah kerana aku terasa aku terlanggar sesuatu. 

Lima belas minit kemudian, Zue membuka matanya. Dia menoleh ke kiri dan kanan sebelum sedar akan diriku yang sedang duduk di atas sofa. Aku terus menghampirinya. 

"Zue jangan banyak gerak. Tangan kiri Zue …" Belum sempat aku menghabiskan ayat, dia sudah menganggukkan kepalanya tanda dia tahu akan keadaan dirinya. Aku terpana seketika. Rasa bersalahku datang kembali. 

"Saya …" Sekali lagi, sebelum aku menyudahkan kata-kataku, Zue membuatku terpana lagi. 

"Saya tak apa-apa la. Cuma patah tangan je. Nanti elok la." Hatiku sayu. Mengapa dia tidak sudi menerima ucapan maaf dariku? 

"Saya tetap nak minta maaf. Saya bersalah sebab langgar Zue." Zue hanya senyum lalu menganggukkan kepala. Mudahnya dia memberi kemaafan! 

"Kenapa Zue senang-senang je maafkan saya? Zue tak marah?" Sekali lagi Zue senyum. 

"Entahlah … Alaa, nanti tangan saya elok la, kan? Bagi saya, ni dugaan ALLAH pada saya supaya dapat jadi orang yang lebih bersyukur!" Aku terpampan dengan sikap Zue yang … optimis? Positif? Seakan tidak ada sekelumit perasaan marah padaku yang menyebabkan dirinya melalui kesusahan. 

"Kalau tak elok?" Tanyaku. Senyuman Zue menghilang. 

"Kalau tak elok, saya ambik la tangan awak, buat ganti." Kemudian dia ketawa. Aku senyum hambar. Aku tidak percaya dia dapat memaafkanku semudah itu. Tapi itulah Zue yang aku kenal. Dia memang mudah memberikan kemaafan, tidak pernah menyimpan dendam. Sekiranya dia marah, dia akan memendamkan perasaannya. Jika dia tidak mampu mengawal perasaan marahnya, dia akan mendiamkan diri. Tapi terlalu jarang dia akan mendiamkan diri. 

Sejak peristiwa itu aku dan Zue semakin rapat. Malah kadangkala aku akan bertandang ke rumah Zue. Ibu bapa Zue juga sudah berkenalan dengan keluargaku. Bapaku telah datang ke hospital untuk meminta maaf bagi pihakku. Tapi bapa Zue hanya ketawa dan memberitahu sudah lama dia memaafkanku. Dalam perjalanan pulang ke rumah, ayah tidak berhenti-henti memarahiku. Dan sejak itu, aku dilarang untuk menunggang motosikal. Dan sehingga hari ini aku tidak pernah lagi menunggang motosikal. 

Mungkin jodoh kami panjang. Setelah aku dua tahun aku tidak bertemu dengan Zue kerana aku belajar di sekolah menengah teknik, aku dan Zue bertemu di UTM. Zue belajar dalam kursus seni bina manakala aku meneruskan minatku dalam kejuruteraan awam. Selama dua tahun aku berpisah dengannya, aku tidak pernah berhenti menghubungi Zue. Kami menjadi semakin rapat. Kami jarang bertemu di kampus tetapi kami cuba untuk meluangkan masa bersama di hujung minggu. Kami akan pergi menonton wayang atau berjalan-jalan di pusat membeli belah. 

Dan mungkin hubunganku dengan Zue memang ditakdirkan untuk menjadi lebih dari kawan. Satu hari, ketika kami sedang duduk di sebuah taman, aku meluahkan perasaanku. Zue ketawa kecil apabila aku berterus terang yang aku mula mencintainya sejak tadika lagi. Namun dia membisu, tidak memberikanku jawapan walaupun aku yakin Zue mempunyai perasaan yang sama denganku. 

"Kalau Zue reject Sham macam mana?" Tanyanya. 

"Hmm … Sham akan buat Zue terima Sham dengan apa cara sekali pun. So, sebelum Sham buat macam tu, baik Zue terima Sham." Gurauku. Zue ketawa. 

"Sham nak buat apa dengan Zue?" Tanyanya lagi. 

"Sham kena buat dulu baru Zue tau apa Sham nak buat kat Zue." Usikku lagi. 

"Haa … Sham nak buat benda tak baik kat Zue ek?" Tekanya dalam senyuman. Aku ketawa lalu sengaja memandangnya dari atas ke bawah berulang kali. Senyuman Zue mula hilang melihat pandangan mataku. Dia memukul bahuku. "Huh, gaya Sham tadi macam perogol bersiri." Aku ketawa besar. 

"Kalau Zue tak terima … Sham nak …" Aku sengaja membiarkan ayatku tergantung. 

"Nak apa?" 

"Nak peluk Zue kuat-kuat, tak bagi lepas, sampai Zue terima Sham." Bukk! Satu tumbukan singgah di perutku. Aku ketawa lagi. 

"Berani buat la! Zue cekik-cekik Sham nanti." Cabarnya. 

"Betul? Cabar Sham ek? Sham berani je … Tapi nanti tengok la Zue boleh cekik Sham ke tak. Sebab Sham takkan peluk je. Hehe." Zue mencebikkan bibir lalu menjelirkan lidah, salah satu kebiasaannya apabila dia sudah geram. Aku ketawa bahagia. Mendengar aku ketawa, Zue mula menumbukku tetapi belum sempat ia singgah di perutku, aku sudah menangkapnya dan membawanya ke bibirku. Merah padam wajah Zue melihat tindakanku. 

Zue terdiam. Dia cepat-cepat menarik tangannya dan mula menjarakkan dirinya. Aku menepuk dahi, mula serba salah. Kami berjalan beriringan tanpa menuturkan sepatah kata. Aku mula menggaru kepala. 

"Sham minta maaf, Zue. Sham takkan buat lagi." Janjiku padanya. Dia terus membatukan diri sehingga aku memanggil namanya buat kali kedua. 

"Zue tak suka Sham buat macam tu. Jangan buat lagi tau." Entah buat kali ke berapa, dia dengan mudahnya menerima kemaafanku. Aku mengangkat tangan tanda bersumpah. Senyuman manis mula terukir di bibirnya. 

"Zue jangan risau. Sham akan jaga maruah Zue macam Sham jaga maruah Sham sendiri. Sham akan jaga Zue sampai bila-bila. Walaupun Sham tak dapat nak janji yang Sham takkan buat Zue menangis, tapi Sham akan selalu jaga dan lindungi Zue." Itulah janjiku pada Zue. Sehingga hari ini, aku tidak pernah lupa akan janji itu. Dengan janji itulah aku meminta ibu bapaku meminang Zue. Waktu itu kami masih belajar di universiti. Ayah menentang keputusanku namun aku tidak putus-putus memujuk sehingga dia bersetuju. Setelah kedua ibu bapa kami berbincang, mereka merestui hubungan kami. 

Kami merancang untuk berkahwin sebaik sahaja kami menamatkan pelajaran. Tidak pernah aku rasakan begitu bahagia melainkan ketika aku bersama Zue. Selepas menduduki peperiksaan semester akhir, aku dan Zue mula merancang untuk majlis perkahwinan kami. Aku tersenyum pahit mengenangkan kisah itu. Kami masih terlalu muda saat itu namun aku benar-benar tekad untuk menjaga Zue sampai bila-bila. Aku yakin kami mampu membina hidup bersama walaupun kakak dan abangku membantah. Kami terpaksa bersetuju apabila ibu bapa kami merancang untuk mengadakan majlis secara besar-besaran memandangkan Zue merupakan anak tunggal dan aku anak bongsu. 

Namun entah di mana silapnya, Zue menghilangkan diri bersama kedua ibu bapanya. Berita dari Zue langsung tidak kuketahui. Aku datang mencarinya di rumahnya tetapi hampa. Kereta kedua ibu bapanya juga tidak ada. Aku menghubunginya siang dan malam tetapi tiada jawapan. Aku menghubungi teman baiknya namun katanya sudah lama dia tidak berhubung dengan Zue. Tidak cukup itu, aku menjejaki Zue di kampungnya tetapi menurut jirannya, sudah beberapa tahun keluarga Zue tidak pernah pulang. Sebulan tanpa sebarang berita dari Zue membuatku hampir jadi gila. Zue hilang bagaikan angin yang berlalu. 

Waktu terus berlalu. Tarikh yang kami rancangkan untuk majlis perkahwinan kami juga telah lama berlalu. Aku berkurung di dalam bilik, enggan bertemu dengan sesiapa. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa aku merindui Zue. Apa sahaja yang aku lakukan, pasti bayangan Zue datang menerpa. Aku merindui senyuman manisnya, suaranya yang manja … Aku menarik nafas dalam-dalam. Air mataku bertakung tapi aku tahan. Aku tidak mahu menangis lagi kerana Zue. Cukuplah sekali aku hampir kehilangan semangatku untuk hidup. Kali ini aku akan menjadi kuat. 

Aku dan Alya meninggalkan rumah kebajikan Nur tepat pukul empat petang. Zue tidak dapat menghantar kami ke kereta kerana sibuk berkemas selepas majlis tamat. Dia hanya memandang kami dari jauh. Alya mengajakku untuk singgah ke rumahnya tetapi aku menolak. Malah dalam perjalanan pulang aku hanya mendiamkan diri. Aku sering berharap dapat bertemu dengan Zue semula. Aku berjanji pada diriku jika aku bertemu dengan Zue semula, aku akan katakan pada Zue yang aku sudah melupakannya. Namun hakikat sebenarnya aku menjadi lemah berhadapan dengannya. 

Tiba di rumah, aku terus baring di atas sofa. Air mataku yang sudah lama kutahan akhirnya tumpah. Selama ini aku sering tertanya di mana silapku hingga Zue meninggalkanku tanpa pesan. Aku sering berfikir mengapa dia begitu kejam meninggalkan diriku sedangkan aku benar-benar mencintainya. Tidakkah dia ingat janjiku padanya? Atau dia tidak pernah menganggap aku serius? Mungkinkah dia rasakan aku tidak mampu untuk menjaganya? Mungkinkah dia rasakan kami tidak mampu hidup bersama lantaran kami masih muda? Tetapi mengapa dia tidak berterus-terang padaku? Mengapa pergi begitu saja? Mengapa dia sanggup melukakan hatiku sedangkan dia tahu aku mencintainya? Mengapa dia begitu kejam? 

Aku mencampak kusyen sofa ke arah meja. Sebuah gelas kaca yang ada di situ pecah berderai. Aku tidak peduli. Kaca itu tidak pecah berderai seperti hatiku. Aku menumbuk dinding untuk melepaskan perasaanku. Aku hanya mahu tahu mengapa Zue meninggalkan aku! Aku terus menumbuk dinding sehingga tanganku berdarah. Biarkan! Hatiku bukan berdarah sebegitu. Bila Zue pergi dulu, dia turut membawa pergi semua perasaanku. Dalam masa lapan tahun ini, aku tidak pernah mempunyai perasaan pada gadis lain. Sehingga aku bertemu dengan Alya. Tapi kini Zue kembali dan luka hatiku mula terasa kembali. Dan yang lebih menyakitkan adalah aku tidak pernah berhenti mencintai Zue! 

Aku membuka mata. Tanpa aku sedari, aku terlena petang tadi. Tanganku berdenyut-denyut kerana sakit. Aku menggerakkan tanganku tetapi terasa sakit sekali. Dengan langkah malas aku menuju ke dapur dan mengambil ais. Aku menekapkan ais ke tanganku. Aku hampir menjerit menahan pedih. Aku duduk kembali di sofa. Bayangan wajah Zue kembali menerpa. Aku mengetap rahang menahan pedih yang menggigit kalbu. Tanpa berfikir panjang, aku mencapai kunci dan mula memandu kereta. 

Tepat pukul 12.45 pagi aku tiba di hadapan rumah kebajikan Nur. Aku menekan loceng berkali-kali dan menjeritkan nama Zue sehingga seorang wanita berusia muncul di muka pintu. Seketika kemudian Zue muncul. Dia tersentak memandangku. Langkahnya mati di muka pintu. Aku memanggil namanya. 

"Zue, Sham nak jumpa dengan Zue …" Rayuku. Wajahnya pucat. Wanita berusia yang membahasakan dirinya mak cik itu membenarkan aku masuk. Aku masuk dan menghampiri Zue. Aku ingin sekali menyentuh Zue. Aku mahu memastikan yang Zue benar-benar berada di hadapanku. Selama ini aku sering bermimpikan Zue. Ya ALLAH, semoga hari ini aku tidak bermimpi lagi. Semoga benar KAU telah temukan aku kembali dengan orang yang paling aku rindui selama ini. 

Aku dan Zue duduk di halaman rumah bertemankan cahaya lampu yang dipasang. Halaman rumah itu cantik sekali sekali dengan bangku dan meja kayu yang berhadapan dengan kolam kecil. Suatu ketika dulu aku pernah berjanji untuk membeli sebuah rumah dan kami akan bersama membina sebuah kolam kecil. Kami diam membisu. 

"Zue apa khabar?" Tanyaku separuh berbisik. Aku tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara sedangkan selama ini aku berjanji aku akan terus memberitahu Zue bahawa aku bahagia. Kini aku tidak mampu bersuara. Aku memandang ke arah Zue yang sedang merenung kolam. 

"Khabar baik. Sham?" Suara Zue masih kedengaran lembut seperti dahulu. Aku seakan mahu menangis kerana dapat mendengar suara Zue sekali lagi. 

"Alhamdulillah. Umi dan abah apa khabar?" Zue mendiamkan diri. Dalam kesamaran cahaya itu aku lihat matanya bercahaya. Dalam hatiku tertanya mengapa dia menangis. Aku memanggil nama Zue. Dia segera menyeka air matanya. 

"Umi dan abah dah tak ada." Perlahan Zue menjawab. Innalillah! Lidahku kelu. Bicaraku mati. 

"Bila?" Tanyaku. 

"Dah lama." Zue seakan menyelindungkan sesuatu dariku. Kami diam lagi. Air mata Zue mengalir lagi. 

"Kenapa Zue menangis?" Tanyaku. Zue tidak menjawab malah air matanya terus mengalir. Seketika kemudian aku mula terdengar esakannya. Aku membiarkan Zue menangis tanpa memujuknya. Biarlah Zue melayan perasaannya. Aku tidak dapat membaca fikirannya. Entah mengapa dia menangis. Mungkin kerana rindukan Umi dan Abah. Atau mungkinkah dia menangis atas pertemuan ini? 

"Mak dan ayah apa khabar?" Tanyanya apabila tangisannya mula reda. Aku menjawab yang mereka sihat. Kalaulah mak dan ayah tahu aku bertemu dengan Zue, entah apa reaksi mereka. Aku sedar pandangan mak dan ayah terhadap Zue mula berubah selepas Zue pergi. Mak paling tidak suka mendengar nama Zue disebut. 

"Kenapa Zue buat macam tu?" Tanyaku. Zue kelihatan tenang apabila mendengar soalanku seakan dia sudah tahu aku pasti aku melontarkan soalan itu padanya. Zue mengambil masa sebelum menjawab soalanku. 

"Kalau Zue bagitau sekarang … Tak ada apa yang akan berubah, kan? Apa yang berlalu biarkanlah berlalu. Sekarang pun Sham bahagia, kan?" Tuturnya. Perasaan marah mula menguasaiku. 

"Semudah tu?" Soalku, pendek. Aku menahan perasaan marah. "Selama ni Sham tunggu Zue, itu je Zue nak cakap dengan Sham? Senang-senang suruh Sham lupakan?" Suaraku meninggi. Zue masih kelihatan tenang. Aku bangun dari bangku. Zue masih mendiamkan diri. 

"Jawap, Zue!" Bentakku lalu menghentak meja. Zue kelihatan terkejut. Dia merenung mataku tetapi cepat-cepat dia melarikan pandangannya seakan tidak sudi untuk memandangku. Mengapa kau berubah begini sekali, cintaku? Mengapa kau begitu kejam melukakan perasaanku? Aku mengetap bibir menahan marah. "Jawab kenapa Zue buat Sham macam ni? Bagitau apa salah Sham sampai Zue seksa Sham macam ni!" Bentakku lagi. Air mata Zue mengalir. Dia menggelengkan kepalanya. 

Aku mencengkam kedua bahunya dengan kuat dan memaksanya memandangku tetapi dia berkeras tidak mahu memandangku. Dia terus menangis. "Cakap!" Jeritku. Zue tetap menggeleng dan aku tetap menjerit. Dalam esak tangis, Zue menggelengkan kepalanya. "Cakap la Zue … Apa salah Sham?" Suaraku mula layu. Aku mula kalah dengan perasaanku. Aku terduduk di atas bangku. Kini air mataku yang mula mengalir. Sampai bila dia akan terus menyeksa perasaanku? Aku menyeka air mataku. 

"Biarlah Zue. Kalau Zue berkeras tak nak bagitau, tak apalah. Semuanya dah berlalu, kan? Tapi macam mana deritanya Sham, Sham tetap bersyukur sebab dapat berjumpa Zue lagi." Aku mula melangkah meninggalkan Zue sehinggalah aku mendengar jeritan Zue. Jeritan yang aku rasakan bagaikan guruh yang kuat menghentam bumi. Aku berpusing memandang Zue, tidak percaya dengan apa yang baru aku dengari. Tidak mungkin … 

"Because I was raped!" Zue mengulangi jeritannya. Kali ini lebih kuat. Langkahku mati. "Sebab kejadian tu, Zue dijangkiti Aids! Sebab kejadian tu, Umi dan ayah mati!" Zue menjerit lagi. Jantungku seakan berhenti berdegup. Air mataku bertakung lagi. Tak mungkin … Aku memandang Zue yang sedang menangis teresak-esak. Aku menggelengkan kepala, tidak percaya. 

"Zue tipu … Zue tipu Sham, kan …" Ucapku. Tapi Zue tetap menangis. Melihat Zue menangis makin hiba, aku mula tahu Zue tidak berbohong. Tapi aku terus memujuk hatiku untuk tidak mempercayainya. Aku menumbuk dadaku kuat untuk menghilangkan rasa pedih di hatiku. "Zue tipu Sham!" Jeritku. Esakan Zue makin kuat kedengaran. Aku terus meninggalkan rumah kebajikan Nur. 

Aku memandu keretaku selaju mungkin meninggalkan rumah kebajikan Nur. Aku memasang radio dengan kuat untuk melupakan kata-kata Zue tadi tapi jeritan Zue masih kedengaran di telingaku seolah-oleh Zue berada dekat denganku. Jeritan Zue dalam tangisan yang terngiang-ngiang di telingaku membuatku menghentikan kereta di sisi jalan. Aku menumbuk-numbuk stereng kereta. Aku menjerit sekuat hati. Tak mungkin semua itu berlaku pada Zue! Tak mungkin …! Aku terasa benci sekali tapi aku tak tahu pada siapa. Mungkin pada diriku sendiri! Mungkin pada lelaki jahanam yang menghancurkan Zue! Argh! Aku kalut! 

Perasaanku bercampur baur. Pedih dadaku! Ya ALLAH, dugaan maha berat ini tak tertanggung rasanya. Air mataku mengalir. Aku menangis teresak-esak di situ. Aku terasa kejam sekali. Selama ini aku menyalahkan Zue. Aku katakan Zue kejam tapi ya ALLAH, hanya KAU yang tahu betapa besarnya dugaan yang Zue hadapi! Selama ini betapa aku tidak pernah putus berusaha membenci Zue sedangkan Zue sedang berhadapan dengan ujian yang maha besar dan dia bersendirian menanggungnya. Kejamnya diriku membenci dirinya, ya ALLAH! Betapa bersalahnya aku pada dia, ya ALLAH! Aku menangis sehingga badanku terasa lemah. Aku pulang ke rumah dan tidak mampu melelapkan mata sehingga waktu pagi. 

Sudah seminggu sejak aku bertemu Zue. Aku bertemu Alya untuk mendapatkan MC. Aku rasakan badanku lemah sekali ditambah dengan jariku yang mula membengkak. Celoteh Alya tidak lagi membuatku senyum. Berkali-kali dia bertanya mengapa tanganku lebam tetapi aku tidak menjawab. Alya mengugut untuk tidak merawatku namun aku tetap degil. Akhirnya Alya mengalah. Selepas dia merawatku, dia mengajakku untuk keluar makan bersamanya tetapi aku menolak dengan lembut. Sudah beberapa hari aku tidak berselera untuk makan. Aku hanya memikirkan Zue. 

Aku memandu ke rumah kebajikan Nur. Aku lihat Zue sedang melayan kanak-kanak bermain di halaman rumah. Wajahnya ceria dengan senyuman dan gelak ketawa. Namun siapa yang tahu dia telah diuji dengan dugaan besar? Betapa tabahnya dia menghadapi segalanya. Mengapa aku tidak tabah sepertinya? Wanita berusia yang aku temui tempoh hari mencuit bahu Zue dan Zue terus berpaling ke arahku. Langkahku mati di situ. Zue datang menghampiriku dengan senyuman di bibirnya. Tapi senyumannya tidak bernyawa. Aku tidak dapat mentafsir perasaannya. Sejak dulu hingga kini, aku tidak pernah dapat meneka apa yang bermain di fikirannya. Selama ini, aku yang bersalah sebenarnya. Aku tidak pernah memahami Zue. 

Kami duduk di bangku berhadapan kolam. 

"Kenapa dengan tangan Sham?" Zue menuding jari ke arah tanganku yang berbalut. Aku cepat-cepat menyembunyikannya. Zue ketawa kecil. "Buat apa nak sorok? Zue dah nampak. Sakit tak?" Tanyanya. Aku hanya senyum lalu menggelengkan kepala. Sakit di tanganku tak sama dengan sakit di dalam hatiku. 

"Ada apa Sham datang?" Zue bertanya setelah beberapa ketika kami mendiamkan diri. 

"Zue, kita kahwin." Lancar aku menuturkan kata keramat itu. Zue terpana. Dia mengerdipkan matanya berkali-kali, tabiatnya jika dia tidak memahami atau mempercayai apa yang didengarinya. 

"Kita kahwin." Ulangku. Zue ketawa kecil 

"Sham jangan nak main-main la. Zue tak suka." Tuturnya. 

"Sham serius. Kita kahwin, Zue. Sham akan jaga dan lindungi Zue selalu. Itu janji Sham dulu. Zue ingat lagi tak?" Tanyaku. Zue mendengus tanda tidak puas hati. 

"Sham ni kenapa?" 

"Kenapa dengan Sham? Sham cuma ajak Zue kahwin. Tak boleh ke?" 

"Memang tak boleh!" Tinggi suara Zue. "Sham dah lupa ke apa yang Zue cakap hari tu? Zue penghidap Aids!" 

"So?" Tanyaku bodoh. 

"So? Sham tanya Zue, so? Sham nak mati ke?" Jerit Zue. Aku tetap tenang menghadapi reaksi Zue. Sepanjang perjalanan tadi aku sudah memikirkan pelbagai reaksi dari Zue. Aku tahu Zue akan terkejut dan tidak percaya. 

"Sham tak nak Zue cakap macam tu. Tak kira Zue ada Aids atau tak, Zue ada hak untuk bahagia. Sham akan bahagiakan Zue sampai bila-bila." Zue mengetap bibir. 

"Kalau Zue tak terima, Sham akan paksa sampai Zue. Sham akan buat apa je asalkan Zue jadi milik Sham." Aku senyum. Zue menjeling memandangku. Aku tahu Zue sedang marah. Dia bingkas bangun dan dengan tidak disedari, lengan Zue tergesel dengan mata paku yang timbul di atas permukaan meja. Berdarah lengan Zue. Aku cepat-cepat memegang lengan Zue tetapi dia menariknya dengan kuat. 

"Don’t touch me!" Jeritnya. Aku terkedu. Dia mengalirkan air mata. "Zue tak suci lagi. Zue kotor. Darah ni boleh bunuh Sham! Zue tak nak sebarkan penyakit pada sesiapa apatah lagi pada orang yang Zue paling sayang. Biarlah Zue tanggung seorang." Zue berlari pergi. Walaupun pedih mendengar kata-katanya namun hatiku masih berbunga harapan. Zue masih sayangkan aku. 

Aku mula berusaha memenangi hati Zue. Setiap hari aku pasti datang ke rumah kebajikan Nur. Aku akan membawa hadiah untuk penghuni rumah itu. Zue enggan menemuiku tetapi aku tidak henti-henti memujuk. Sekiranya aku datang, dia pasti akan berkurung di biliknya. Aku akan duduk di luar pintu biliknyanya dan bercakap dengannya. Aku luahkan perasaanku. Aku tidak pernah lupa mengingatkan yang aku tidak pernah kisah apa yang berlaku padanya. Aku hanya mahu menjaga dan melindunginya. Aku mahu dia berasa bahagia bersama denganku. Tapi Zue tidak pernah menjawab. Sehinggalah satu hari, aku menulis surat dan menghantarnya melalui bawah pintu. Di situ, aku luahkan segalanya. 

Hari itu, aku pergi ke rumah kebajikan Nur seperti biasa. Kanak-kanak kecil yang melanggarku sewaktu aku datang kali pertama dulu berlari menghampiriku. Dia menjerit memanggilku Uncle Sham. Aku mendepakan tangan dan apabila dia berada dalam pelukanku, aku terus mendukungnya. Syima yang berusia enam tahun memang rapat denganku. Setiap kali aku berkumpul dengan semua kanak-kanak lain, dialah yang aku duduk di ribaku. Syima manja sekali. Hari demi hari aku mula rapat dengan semua kanak-kanak di situ termasuklah sukarelawan yang biasanya hadir pada hujung minggu. 

"Umi!" Syima turun dari pangkuanku dan berlari ke arah Zue. Zue memakai baju kurung putih dipadankan dengan tudung putih. Ayu sekali. Hatiku berdebar memandangnya. Syima menarik tangan Zue menghampiriku. Zue senyum melayan keletah Syima. "Umi duduk sini. Sebelah Uncle Sham." Syima menolak Zue supaya duduk di sisiku. Aku hanya ketawa lalu mencuit pipi Syima. 

"Tak teringin nak ada anak sendiri?" Tiba-tiba Zue bertanya. 

"Nak. Tapi nak dari Zue la." Aku tersenyum nakal. Zue senyum. 

"Tu tak mungkin." Bisiknya perlahan. Zue senyum dalam genangan air mata. Aku menarik nafas panjang. 

"Zue belum cuba, Zue tak mungkin tau." Jawabku. 

"Zue tak nak lahirkan anak yang akan menderita macam Zue." Dia mula menangis teresak-esak. "Zue tak nak Sham dijangkiti." 

"Zue, itu urusan ALLAH untuk tentukan. Zue jangan la macam ni. Kesian la dengan Sham. Sham dah lama tunggu Zue." Pujukku. Zue masih menangis. "Zue … Terimalah Sham. Sham akan jaga maruah Zue, lindungi Zue. Percayalah pada Sham." Zue menganggukkan kepala. Aku ketawa. Zue mengangkat wajah. Matanya merah kerana menangis. Dia tidak mengerti mengapa aku ketawa. 

Aku memeluk Zue lalu mengucapkan syukur. Syukur ya ALLAH, KAU telah bukakan hatinya untuk menerima cintaku. Aku bersumpah akan melayari bahtera bahagia bersamanya semata-mata untuk mendapat keredhaanMU. Aku akan jaga dan lindungi dia kerana dia adalah tulang rusuk yang KAU ciptakan untukku. Aku pasti akan membahagiakan hidupnya. 

Di malam perkahwinan kami, aku dan Zue tidak tidur semalaman. Kami bercerita mengenai kisah lama. Aku berasa terluka kerana tidak dapat melindungi Zue. Zue cukup tabah. Dia tidak menangis semasa menceritakan kisahnya. Umi dan abah meninggal dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung dan Zue koma selama tiga bulan. Apabila dia sedar, dirinya sudah bersendirian di dunia ini. Dan dua tahun kemudiannya barulah dia sedar yang dirinya sudah dijangkiti virus yang tidak berpenawar itu. Dia menggenggam erat tanganku kuat sewaktu dia memberitahu keputusannya untuk menyepikan diri. Sebelum dia lena, Zue berbisik yang kini dia ada diriku yang akan menjaganya selalu. Dadaku terasa lapang apabila mengetahui kisah Zue. Akhirnya kami tertidur dalam pelukan. 

Hari-hari yang aku lalui bersama Zue amat membahagiakan. Atas permintaan Zue, Zue mahu tinggal di rumah kebajikan Nur. Katanya di situ adalah hidupnya. Dia tidak sanggup berjauhan dengan kanak-kanak yang senasib dengannya. Kanak-kanak itu juga mula memanggilku Walid yang bererti bapa. Kehidupanku tidak sunyi lagi seperti dulu. Hari demi hari, aku redha penyakit maut yang Zue hidapi kian melarat. Tubuhnya sudah tidak sesihat dulu. Tubuhnya makin kurus dan wajahnya semakin cengkung. 

Atas permintaan Zue, Zue mahu tinggal di hospital. Katanya dia tidak mahu kanak-kanak itu melihat dirinya. Namun sesekali apabila dia berdaya, dia akan datang melawat rumah kebajikan yang ditubuhkannya sendiri. Kanak-kanak itu menangis apabila melihat Umi mereka tidak sihat. Zue akan ketawa apabila apabila mereka menangis. Katanya, dia sihat cuma dia memakai topeng orang sakit untuk mengajar mereka supaya sentiasa makan ubat. Jika tidak, wajah mereka akan jadi seperti wajahnya yang sudah cengkung. Aku senyum tawar mendengar kata-kata Zue. 

Tanpa pengetahuan Zue, aku sering menangis. Di hadapannya, aku akan sentiasa tabah dan mengingatkan Zue bahawa tiada apa-apa akan terjadi padanya. Dia akan sihat kembali dan dia akan kembali ke rumah kebajikan Nur. Aku dan dia akan bersama menjaga kanak-kanak itu dan akan membesarkan lagi rumah kebajikan itu untuk menjaga lebih banyak kanak-kanak senasib dengannya. Zue menangis. Akhir-akhir ini Zue kerap menangis. Aku jadi resah. Aku takut aku tidak dapat mengawal perasaanku. Aku tahu Zue takut menghadapi saat-saat terakhir hidupnya dan aku takut menghadapi kehilangannya. 

Semalam Zue muntah teruk sehingga mengeluarkan darah. Berpeluh badan Zue apabila dia muntah dan dia tidak lagi mampu menggerakkan badannya. Aku tidak pernah pergi dari sisinya. Walaupun aku pilu, aku tetap berlagak tabah. Sedangkan setiap kali Zue tidur, aku akan menggenggam tangannya sekuat mungkin dan berbicara dengannya. 

"Sayang, abang takut kehilangan sayang. Abang tak dapat bayangkan kalau satu hari nanti abang bangun, sayang tak ada di sisi abang. Dan abang takkan dapat dengar suara sayang lagi. Abang takut sangat, sayang. Abang tak sanggup nak hadapi saat macam tu. Abang tak nak kehilangan sayang. Abang terlalu sayangkan sayang. Kalau sayang pergi, abang akan sendiri lagi. Perasaan abang akan mati lagi. Sayang … abang … Abang tak sanggup tengok sayang menderita lagi. Setiap kali sayang kata sayang rasa sakit, abang yang menangis sebab abang tak sanggup tengok sayang sakit. Abang lebih sanggup sakit daripada tengok sayang menderita. Abang nak gantikan tempat sayang tapi abang tak mampu nak buat macam tu. Abang rela sayang pergi tinggalkan abang daripada terus menderita biarpun abang akan menderita sepanjang hidup abang." 

Malam itu, aku terbangun apabila terdengar raungan kecil Zue. Aku yang terlena terus berasa segar bugar. Nafas Zue naik turun dengan kencang. Tangan Zue menggeletar. Seluruh badannya menggeletar. Nafasnya tidak teratur. Hatiku berkocak kencang. Aku menghubungi Alya untuk datang segera. Aku menggenggam tangan Zue dan tidak henti-henti membisikkan kalimah syahadah di telinganya. Air mataku bercucuran. Ya ALLAH, andai sudah tiba masanya untuk dia kembali ke sisiMU, aku relakan dengan sepenuh hatiku. Tapi janganlah KAU buat dia terseksa lama, ya ALLAH. Dia wanita solehah yang menghiasi duniaku. Bergetar bibirnya membaca syahadah yang aku ajarkan. 

"ALLAH!" Raung Zue. Dan dengan sekelip mata, nafasnya terhenti. Matanya tertutup. Tangannya di genggamanku terkulai layu. Aku menggigit bibir, menahan air mata yang bertakung. Aku memeluk tubuh Zue yang sudah tidak bernyawa. Pergilah sayangku … 

--------------- 

Surah Yasin di tanganku itu aku lipat perlahan. Aku siramkan air mawar ke tanah di mana tubuh Zue dikuburkan. Aku tersenyum pahit. Aku cabut rumput-rumput yang mula tumbuh di pusara Zue. Sudah beberapa hari aku tidak dapat menziarahi pusara Zue kerana sibuk menguruskan projek pembinaan rumah kebajikan Cahaya Zulaikha. 

"Sayang, terima kasih kerana hadiahkan abang cahaya hati. Dan terima kasih atas cinta sayang. Abang bahagia. Abang minta maaf tak dapat datang ziarahi sayang selalu. Tapi sayang jangan risau. Abang tak pernah lupa doakan sayang tenang dan bahagia di sana. Dan abang harap, di akhirat nanti, jika ditakdirkan abang diterima masuk ke syurga ALLAH yang Maha Agung, abang nak sayang sebagai bidadari yang akan menyambut abang di sana. Tenanglah di sana sayang … Bersama anak yang sayang kandungkan untuk abang."

Abadinya Sebuah Cinta

Helaian demi helaian album biru muda diselak oleh Fatin Yusrina. Ditatapnya satu demi satu wajah insan-insan yang disayanginya. Mama, abah dan adik-adik. Matanya beralih pula pada wajah teman-teman seperjuangan yang sentiasa di sisi menemani. Lyn, Ayu, Nadia dan Alia. Dia menyelak lagi helaian setebal dua inci tersebut. Kenangan bersama mereka di bangku sekolah masih mekar hingga ke hari ini. Semangat setiakawan yang tersemai sejak bertahun dulu masih kukuh. Nita, Sham dan Shah antara teman-teman yang paling setia walaupun hari ini masing-masing terpisah oleh kesibukan demi mengejar sebuah cita-cita dan merealisasikan sebuah impian.

Air muka Fatin tiba-tiba berubah apabila matanya terpandang pada seraut wajah yang sering menghantui hidupnya. Seraut wajah milik insan yang dicintai sepenuh hati dan paling istimewa di dalam hidupnya. Album itu ditutup dan disimpan kembali ke tempat asalnya.

Fatin bangun dan melihat ke luar. Pandangannya dilempar jauh ke awan biru menyaksikan burung-burung yang bebas berterbangan. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu mengenangkan perubahan yang berlaku dalam diri Amirul. Fatin mengeluh perlahan. Entah mengapa dirasakan Amirul semakin jauh dari dirinya. Kasih Amirul seakan berubah. Tiada lagi warna-warna cinta di dalam hidupnya. Walaupun Amirul cuba berlagak seperti biasa namun jauh di sudut hati Fatin terasa kepincangannya. Tika ini Fatin rasakan dialah di antara pelakon terhebat. Lamunannya tiba-tiba terhenti apabila bahunya ditepuk lembut. Fatin menoleh. Kelihatan Alia tersenyum di depannya.

"Fatin, kau menangis lagi?" soal Alia yang seakan mengerti apa yang Fatin rasakan. Fatin hanya tersenyum pahit.

"Sudahlah tu, usah dikenangkan sangat masalah tu. Pasti ada penyelesaiannya nanti. Bersabarlah.." pujuk Alia.

Perbualan mereka terganggu apabila Ayu yang baru pulang dari berjogging tercungap-cungap berlari ke arah mereka.

"Haa..kenapa pulak ni Ayu?" soal Fatin hairan.

"Aku...aku..." Ayu tergagap-gagap.

"Eh..apasal nie?" soal Alia cemas.

"Tak ada apa-apa.. saja jer.. aku laparlah.." balas Ayu sambil ketawa kecil.

"Laa..ingatkan kot kena kejar anjing," balas Alia. Nadia dan Lyn yang mengekori di belakang Ayu pun turut meyampuk.

"Bukan apa, aku rasa Ayu tu dah tak sabar nak jumpa mamak perut buncit kat gerai tu.." usik Lyn.

"Hm..patutlah lari macam lipas kudung..rindu kat mamak tu rupanya.." usik Fatin pula.

Mereka akhirnya tertawa melihat muka Ayu yang macam susu basi bila disakat teman-teman. Terlupa sebentar pada masalah yang ditanggung Fatin. Mereka kemudiannya bersiap untuk keluar makan.

* * * * *

Jari jemari Fatin masih lagi ligat menulis di diari kesayangan yang banyak menyimpan rahsia perjalanan hidupnya. Selain teman-teman, diari biru berbunga putih itu jugalah tempatnya meluahkan perasaan dan mengadu. Patah demi patah ditulis menjadi barisan ayat dan satu demi satu helaian dicoret bagi meluahkan segala yang tersimpan kemas di sudut hatinya. Walaupun dia sedar tak mungkin Amirul dapat membaca luahan perasaan dan coretan yang ditulis khas buatnya tapi dia tidak pernah jemu menulis. Untuk diluahkan tidak mungkin kerana dia tak sanggup mengguris hati insan yang disayanginya. Biarlah ditanggung segalanya dan dipendam segala kedukaan dengan harapan semuanya akan berakhir dengan episod bahagia.

Walaupun empat tahun lalu Amirul pernah melukakan hatinya dengan mendampingi insan lain namun di sudut hatinya tidak pernah berdendam apatah lagi membenci. Mungkin takdirnya ketika itu bukan untuk bersama Amirul, tetapi pertemuan yang tidak dirancang setahun lalu membibitkan kembali perasaan sayang yang tidak pernah padam buat lelaki itu. Fatin akui dia terluka dengan perbuatan Amirul namun yang dah berlalu tetapkan berlalu. Dia yakin kebahagiaan yang dicari akan dikecapi bersama Amirul. Namun sikap Amirul sejak akhir-akhir ini benar-benar mengguris perasaannya. Kesan parut luka semalam terasa pedih kembali. Mungkinkah berdarah kembali. Fatin termenung sendiri.

* * * * *

Kesibukan disebabkan tugasan yang bertimbun membuatkan Fatin terlupa sebentar pada masalah yang ditanggung. Teman-teman di sisi sentiasa memberi perangsang dan semangat menjadikan dia tabah melalui hari demi hari. Fatin juga semakin kurang bercakap dan bersama teman-teman. Dia lebih gemar menghabiskan masanya di dalam bilik. Teman-teman yang lain semakin risau melihat perubahan diri Fatin. Kalau dulu dialah penyeri suasana, bercerita itu dan ini namun kini dirasakan Fatin semakin jauh dari mereka semua. Puas sudah ditanya mengapa dirinya semakin berubah tetapi jawapan yang sering diterima oleh mereka adalah dia terlalu sibuk dengan tugasan. Situasi ini meresahkan teman-teman kerana sesibuk manapun dulu Fatin masih lagi sempat bersama teman-teman untuk menghabiskan hujung minggu. Namun mereka semua tidak mahu mendesak Fatin. Mereka yakin masalah utama Fatin adalah Amirul dan Fatin cuma perlukan masa untuk membiasakan diri dengan sikap Amirul yang semakin hari semakin memeningkan kepala.

Suatu malam yang hening, Fatin mengadu sakit kepala.

"Nadia, kau ada Panadol tak?" soal Fatin.

"Kau tak sihat ke Fatin?" soal Ayu.

"Ala..pening sikit jer.. ada panadol tak ni?" soal Fatin lagi.

"Ada tu ada.. tapi aku rasa elok kita pergi klinik. Aku tengok kau pucat semacam jer.." usul Nadia.

"Tak payahlah Nadia.. pening biasa jer ni.. penat studi.. lepas tidur nanti eloklah tu.." balas Fatin.

"Kau jangan macam ni Fatin, sejak akhir-akhir ni aku tengok kau memang lesu dan tak bermaya..jomlah kita pergi klinik." Pujuk Alia.

"Ish..tak payahlah.. haa..panadol kau tu kat mana Nadia?..Aku pergi ambik yer.." balas Fatin.

"Ada dalam laci tu" balas Nadia. Fatin berlari-lari anak menuju ke bilik Nadia.

Tiba-tiba dirasakan pandangan menjadi kelam. Dia tidak dapat mengimbangi badannya dan terjatuh berhampiran meja studi Nadia menyebabkan barang-barang di atas meja bertaburan dan berserakan. Teman-teman yang berada di ruang tamu bergegas naik ke atas untuk melihat. Terkejut mereka tatkala terlihat Fatin yang rebah di sisi katil dalam keadaan pucat lesi. Ayu memangku Fatin.

"Jom kita pergi hospital.. Lyn, kau pergi cari 'purse' Fatin dan ambik tudung dia sekali." Usul Nadia sambil mencapai tudung dan kunci kereta sementara teman-teman yang lain bersiap untuk ke hospital.

Mereka mengangkat Fatin masuk ke dalam kereta sementara rakan-rakan lain yang tinggal akan memberitahu 'fellow' bertugas tentang apa yang berlaku.

Nadia memandu laju meninggalkan perkarangan kolej menuju ke hospital berdekatan. Ayu, Lyn dan Alia masih lagi diam membisu ekoran terkejut dengan apa yang terjadi.

* * * * *

Sudah dua hari Fatin terlantar di hospital tidak sedarkan diri. Seluruh ahli keluarga setia menanti sehingga Fatin sedar. Lyn memandang wajah Pn. Marini mama Fatin. Terpancar kasih sayang seorang ibu yang sabar menanti dan beralih pula kepada seraut wajah bapa yang nampak lebih tenang milik En. Fazlie walaupun hakikatnya tiada siapa yang mengerti. Seluruh keluarga dan teman-teman sentiasa berdoa agar Fatin cepat sedar dan sembuh seperti sediakala.

Lyn, Ayu dan Nadia yang baru pulang dari kelas singgah sebentar untuk melihat perkembangan teman yang disayangi. Sham dan Nita yang baru tiba kelihatan sedang berbincang sesuatu. Nita kemudian menghampiri Ayu.

"Ayu, kau dah contact Amirul?" soal Nita.

"Dah banyak kali aku cuba..tapi tak dapat jugak." Balas Ayu. Sham berjalan menghampiri mereka.

"Mana pulak perginya budak Amirul ni?" soal Sham geram.

"Entahlah Sham, dah jadi macam ni pun Amirul tu tak muncul-muncul jugak." balas Lyn.

"Amirul ni pun satu, kalau nak ke mana-mana tu bagitaulah..ini tak..mak abah dia pun tak tau mana pergi anak bongsu diaorang tu." Balas Nadia.

"Kesian aku tengok Fatin tu sejak akhir-akhir ni. Selalu jer murung, tak bermaya, tak ceria...memang lah dia ada mengadu yang Amirul tu dah lain macam tapi tak sangkalah sampai dah jadi macam ni kelibat si Amirul tu pun tak nampak." Balas Lyn.

"Aku ada jugak tanyakan kat Amirul tu pasal ni, tapi dia tu macam nak mengelak jer.. macam-macam alasan tak logik dia bagi. Malas aku nak dengar temberang dia tu." balas Sham kesal.

"Yelah..Orang lain pun sibuk jugak kan..tapi takkan sampai nak luangkan lima minit sehari tanya khabar kat telefon pun tak boleh..kalau dulu tu berjam-jam boleh pulak.." balas Ayu.

"Kalau aku tahu dia nak buat perangai macam ni, jangan harap aku nak sokong masa dia nak berbaik balik dengan Fatin hari tu. Dia ni tak serik-serik kot," balas Nita yang dari tadi mendiamkan diri. Mereka akhirnya diam membisu melayan perasaan masing-masing.

Tiba-tiba lamunan mereka dikejutkan dengan berita Fatin telah sedar. Mereka menadah tangan tanda bersyukur atas anugerah ilahi. Kedua ibu-bapa Fatin masuk bertemu Fatin dan mereka yang lain hanya menanti di luar. Mama Fatin keluar dari bilik tersebut dan menghampiri sekumpulan teman-teman Fatin yang setia menanti.

"Makcik macam mana dengan Fatin?" soal Sham.

"Alhamdulillah..dia dah sedar tapi doktor kata dia masih lemah dan perlu banyak berehat.." balas Puan Marini.

"Alhamdulillah..Fatin dah selamat..berapa lama lagi dia kena tinggal kat hospital ni?" soal Nita.

"Dalam 3-4 hari..mungkin jugak lebih.." balas Pn.Marini lagi.

"Kalau macam tu tak apalah makcik, kami mintak diri dulu.. lagipun kami ada kuliah malam ni." Usul Nadia

"Terima kasih banyak sebab dah banyak tolong Fatin... entah macam mana makcik nak balas jasa kamu semua.." Pn. Marini bersuara sayu.

"Ish..jangan cakap macam tu makcik.. kami ni dah macam adik beradik..bukan baru sehari dua kami kenal dia.." balas Ayu.

"Nita..Sham.. terima kasih sebab ambik berat pasal Fatin.." kata Pn. Marini sambil menoleh kepada Sham dan Nita.

"Makcik, tak ada apa yang mampu kami berikan selain kasih sayang seorang sahabat. Kalau tak, apa gunanya persahabatan yang kami dah semai sejak bangku sekolah lagi," balas Nita sayu.

Pn. Marini benar-benar terharu melihat keikhlasan teman-teman Fatin. Fatin, kaulah antara insan bertuah di dunia ini sebab punyai teman-teman seperti mereka. Desis hati kecil Pn. Marini. Mereka kemudiannya meminta diri untuk pulang dan bersalaman dengan seluruh ahli keluarga Fatin.

"Sampaikan salam kami pada Fatin ye makcik.." usul Lyn.

"Baiklah.. tapi sebelum makcik terlupa.. Fatin mintak tolong Ayu ambilkan diari biru dia dalam laci meja study.." pesan Pn. Marini. Ayu angguk. Mereka kemudiannya berlalu.

* * * * *

Suatu pagi Sham terserempak dengan Amirul di sebuah gerai makan.

"Hey Mirul.. Kau pergi mana 4-5 hari ni ha?" soal Sham.

"Apasal marah-marah ni Sham..Aku 'outstation'lah.." balas Amirul.

"Kalau ye pun, takkanlah sampai 'off'kan handset' 24 jam. Orang nak 'contact' pun seksa dibuatnya.."balas Sham lagi.

"Laa..apa hal yang penting sangat sampai kau ribut pagi-pagi buta ni Sham?" soal Amirul selamba.

"Ha..macam mana aku tak ribut Mirul.. kalau si Fatin tu jadi arwah pun kelmarin, kau mana nak sedar..ntah ke mana asyik menghilang.." getus Sham geram.

"Apa maksud kau ni Sham.. kenapa ngan Fatin?" soal Amirul cemas.

"Dia kat hospital, dah 3 hari terlantar kat sana.. semalam baru sedar " jawab Sham acuh tak acuh.

"Aku...aku...aku pergi tengok Fatin dululah Sham..." balas Amirul sambil berlalu.

Sham hanya menggelengkan kepala dan mendengus kecil. Ternyata Amirul telah berubah.

Amirul memandu laju menuju ke hospital di mana Fatin ditempatkan. Amirul membawa sejambak bunga dan buah-buahan. Dia menghampiri Fatin yang sedang leka menulis sesuatu.

"Sayang dah lama bangun?" sapa Amirul perlahan.

"Eh..abang rupanya.. Fatin tak tidur dari subuh tadi.." balas Fatin lembut sambil menyelitkan diari biru tersebut ke bawah bantal.

"Iye ke nie?.. Boleh percaya ke sayang abang ni?" usik Amirul. Fatin tersenyum.

"Fatin tulis apa tadi sampai abang sampai pun Fatin tak sedar..cerpen terbaru ke?"soal Amirul.

"Haah..dah lama dah Fatin tulis tapi entahkan bila boleh habis.." balas Fatin.

"Kenapa?..Fatin tak ada idea ker..selalunya buah hati abang ni cepat dapat idea.." balas Amirul yang sememangnya tahu Fatin memang gemar menulis.

"Bukan tak ada idea, tapi tak tahu bila nak jumpa penghujungnya.." balas Fatin sambil tersenyum penuh erti.

"Em..tak perlah..Fatin tulis perlahan-lahan o.k.. nanti bila dah siap, boleh bagi abang baca.. macam biasalah kan.." balas Amirul sambil tersenyum dan mencuit hidung Fatin yang disayanginya.

Bukan dia tak cinta pada Fatin Yusrina. Bukan dia tak sayang pada gadis yang telah mencuri hatinya sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi setiap kali kebahagiaan sedang mekar pasti ada sahaja dugaannya. Entah mengapa terasa sukar untuk memiliki gadis istimewa ini. Gadis yang telah banyak bersabar dan berkorban demi kebahagiaannya dan memberinya peluang untuk menebus kesilapan lalu.

Kalau dia berada di tempat Fatin, mana mungkin dia mampu menerima kembali insan yang pernah melukai hatinya dengan mengalihkan cintanya pada orang lain. Amirul akui itulah kesilapan paling besar yang dia telah lakukan. Memilih Julia yang baru dikenali dan membelakangi Fatin yang telah lama berada di hatinya. Entah mengapa tika itu dia benar-benar terlupa pada kesetiaan, kujujuran, keikhlasan dan keteguhan cinta Fatin walhal teman-teman di sisi telah menasihati agar tidak tersilap langkah. Amirul benar-benar kesal atas apa yang terjadi dan dia bersyukur kerana Fatin masih memaafkannya dan menerimanya kembali dalam hidupnya.

Dia sedar sejak kebelakangan ini Fatin kecewa dengan sikapnya. Namun apakan daya, dia tak mampu untuk lakukan apa-apa. Hanya membisu seribu bahasa dan mendiamkan diri bila perkara ini dibangkitkan. Dia takut tindakan yang terburu-buru akan lebih mengeruhkan suasana. Amirul benar-benar tertekan dengan apa yang berlaku. Masalah di tempat kerja masih belum selesai, Julia pula muncul kembali merayu dan menagih kasihnya. Sudah puas diterangkan pada Julia bahawa cintanya hanya milik Fatin tetapi Julia mengugutnya untuk menceritakan tentang keburukannya pada Fatin terutama kisah di mana mereka hampir-hampir terlanjur suatu masa dulu.

Amirul benar-benar buntu. Menerima Julia bererti dia sengaja menempah sengsara kerana dia sudah serik dengan sikap Julia yang benar-benar menyesakkan hidupnya. Menolak Julia bermakna Fatin akan mengetahui kisah silamnya sekaligus melukakan hati Fatin buat sekian kali. Dia benar-benar tak ingin melihat Fatin kecewa lagi. Cukuplah atas apa yang telah Fatin lalui disebabkan kesilapannya dulu. Dia perlukan masa untuk menyelesaikan segalanya. Dia yakin gadis pujaan hatinya ini mampu bertahan dan cukup kuat untuk menempuh segalanya buat masa ini.

Dia benar-benar menghargai pengorbanan Fatin dan tiada insan lain yang mampu menandingi Fatin Yusrina. Dia rasa bersalah kerana mengabaikan Fatin selama ini hanya kerana kehadiran Julia yang tidak diundang. Dia berjanji akan melayan Fatin dengan baik dan akan menebus kesilapannya selama ini. Dia sendiri akan berterus-terang dengan Fatin bila tiba saatnya dan kala itu dia redha dengan segala keputusan Fatin. Walaupun Fatin membencinya dia tetap akan terima kerana memang itulah hukuman yang patut diterimanya sejak dulu. Dia akur pada ketentuan Ilahi.

* * * * *

Fatin sudah sihat dan kembali ke bumi ilmuan seperti sediakala. Tiada lagi kemurungan di raut wajahnya dan Fatin telah kembali ceria seperti dulu. Teman-teman yang lain benar-benar gembira melihat perkembangan yang positif pada diri Fatin.

Pada hujung minggu ini, semua teman-teman ingin pulang ke kampung halaman. Fatin juga mengambil keputusan yang sama setelah terfikir yang dia juga telah lama tidak bertemu keluarga yang tersayang. Kebiasaannya Amirul akan menghantarnya pulang, tapi hujung minggu ini Amirul terpaksa menghadiri seminar di Perak. Jadi dia cuma menghantar Fatin ke stesen komuter setelah mereka makan tengah hari bersama-sama. Mula-mula Amirul agak keberatan untuk mengizinkan Fatin pulang sendirian kerana takut Fatin akan diserang sakit kepala secara tiba-tiba dan meminta Fatin menangguh hasratnya untuk pulang ke kampung dan pulang bersama-samanya pada minggu berikutnya. Namun setelah didesak oleh Fatin akhirnya Amirul mengalah.

"Sayang jaga diri baik-baik tau.."pesan Amirul.

"O.k..Fatin janji.."balas Fatin sambil tersenyum.

"Kirim salam pada keluarga..nanti bila dah sampai, Fatin call ye.."pesan Amirul lagi.

Fatin tersenyum lagi. Dah biasa benar dengar kata-kata Amirul yang sedemikian rupa. Fatin menghulurkan tangan untuk bersalaman. Amirul menyambut huluran tangan Fatin.

"Abang, maafkan Fatin kalau Fatin ada buat salah dan silap..halalkan makan minum Fatin yer.."kata Fatin sambil mencium tangan Amirul.

Amirul angguk dan tersenyum. Dah tahu benar dengan kebiasaan Fatin yang akan mengucapkan kata-kata sedemikan rupa di akhir pertemuan. Mula-mula dulu memang rasa janggal dan pelik bila kalimah itu dituturkan oleh Fatin, tapi sekarang ni dah biasa sangat.

"Yelah..apa salahnya Fatin minta ampun minta maaf..manalah tahu umur Fatin tak panjang.. mudah-mudahan atas kemaafan tu, tenang Fatin kat sana nanti.."dia masih ingat itulah jawapan yang Fatin berikan apabila perlakuan itu dipersoalkan.

Fatin meminta diri apabila komuter telah tiba. Amirul melepaskan genggaman tangan Fatin dengan berat hati. Entah kenapa tiba-tiba terasa sebak untuk berpisah dengan Fatin kali ini walaupun dia tahu Fatin cuma hendak pulang ke kampung. Setelah Fatin berlalu dan hilang dari pandangan barulah Amirul melangkah ke kereta dan kembali semula ke pejabatnya kerana ada mesyuarat yang perlu dihadiri.

* * * * *

Selepas mesyuarat Amirul memeriksa telefon bimbitnya. Dilihat ada 'missed calls'.

Dia terseyum apabila melihat nombor Fatin tertera di situ.

"Em.dah sampai agaknya di rumah" desis hati kecil Amirul sambil mendail semula nombor Fatin.

"Hello..Assalamualaikum.." Amirul membuka bicara.

"Waalaikumsalam.." balas suara dari sebelah sana. Amirul hairan kenapa bapa Fatin yang menjawab panggilan tersebut.

"Apa khabar pakcik?" soal Amirul.

"Khabar baik nak.. Tadi Amirul pergi mana?" soal En. Fazlie tenang.

"Ada mesyuarat tadi.. pakcik, Fatin dah sampai ?..boleh Mirul cakap dengan dia?.." soal Amirul lagi.

"Amirul..pakcik bukan tak nak bagi Mirul nak cakap dengan dia..." balas En. Fazlie lemah.

"Apa maksud pakcik..?" soal Amirul hairan.

"Bersabarlah nak..sebenarnya Fatin di timpa nahas jalanraya.. Dia dah tak ada nak..Fatin dah kembali kepada Tuhan penciptanya.." balas En. Fazlie sebak.

Amirul terduduk mendengar kata-kata En. Fazlie. Terasa gelap seluruh dunianya. Bermimpi ngerikah dia. Baru sebentar tadi Fatin tersenyum manja didepannya. Kenapa ini yang harus terjadi. Air mata seorang lelaki mengalir deras.

"Arwah di hospital mana sekarang pakcik?" soal Amirul tersedu-sedu.

"Seremban nak.."balas En. Fazlie lagi.

Amirul mengucapkan terima kasih dan kemudiannya menghubungi keluarganya serta teman-teman lain bagi mengkhabarkan berita duka ini. Keluarganya menasihatinya agar banyak bersabar dan mereka sendiri akan menyusul ke kampung Fatin. Ayu, Lyn, Alia dan teman-teman yang lain menangis tersedu-sedu. Nita yang pada awalnya tak percaya akhirnya meratap pilu dan dipujuk oleh Sham walaupun Sham sendiri bagai tak percaya apa yang berlaku. Pada Shah yang berada jauh di utara juga dikhabarkan berita duka ini.

Amirul menuju ke surau berhampiran dan mengangkat wuduk serta menunaikan solat sunat dua rakaat. Dia memohon ketenangan dan berdoa agar Fatin akan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Amirul kemudian memandu laju meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Seremban. Segala urusan ditangguhkan. Sepanjang perjalanan hatinya meratap pilu dan air mata pun berguguran. Segala kenangan bersama-sama Fatin muncul satu persatu. Amirul meratap hiba mengenangkan apa yang terjadi.

* * * * *

Diari biru peninggalan Fatin diselak lagi. Diari biru itu diserahkan oleh mama Fatin selepas jenazah Fatin telah selamat dikembumikan. Coretan demi coretan dan luahan rasa seorang insan bernama Fatin Yusrina ditatap. Agaknya inilah yang dikatakan oleh Fatin cerpen yang masih tiada penghujungnya suatu masa dulu. Dan kini yang tinggal hanyalah penghujung yang hanya memberi seribu kedukaan. Penghujung yang menyaksikan dia telah kehilangan Fatin buat selama-lamanya. Penghujung yang meninggalkan kesan abadi. Air mata Amirul tumpah lagi apabila bait-bait kata itu dibacanya.


Abang,

Bagaimana keadaan abang hari ini?..Fatin harap abang sihat..Fatin di sini macam biasa.. Abang nak tahu tak, Fatin benar-benar rasa bahagia kerana dipertemukan dengan abang. Fatin bahagia di atas limpahan kasih sayang abang buat diri Fatin. Kalau empat tahun dulu kita pernah terpisah, tak bemakna cinta Fatin telah padam buat abang cuma tika itu Fatin terpaksa menerima kenyataan yang abang bukan milik Fatin. Fatin harus tabah menerima kenyataan walaupun hati Fatin benar-benar terluka. Namun dendam tidak pernah wujud di hati Fatin. Dan kini dengan izin Tuhan kita bersama kembali menjalin ikatan. Semoga kali ini kebahagiaan abadi kan jadi milik Fatin.

Amirul menyelak lagi helaian diari berwarna biru tersebut.


Abang,

Terima kasih atas segalanya. Walaupun Fatin tahu mana mungkin abang membaca luahan hati Fatin di dalam diari bisu ini selagi hayat Fatin di kandung badan tapi Fatin cuma nak abang tahu yang Fatin benar-benar cintakan abang. Fatin berjanji akan menjadi seorang teman, sahabat dan isteri yang baik suatu masa nanti. Fatin akan sentiasa di sisi abang walau susah dan senang. Fatin nak kongsi segalanya dengan abang. Percayalah pada Fatin.


Air mata Amirul mengalir lagi. Tak dapat dibendung kesedihannya. Ingin sekali waktu ini dia melutut memohon keampunan atas segala kekecewaan dan kelukaan yang telah diberikan buat Fatin Yusrina. Sungguh tulus cintamu Fatin. Matanya terhenti pada coretan bertarikh 4 Februari 2000.


Abang,

Genap setahun kita sambung ikatan yang pernah terlerai suatu masa dulu. Dan sudah hampir dua bulan abang seolah-olah menjauhkan diri dari Fatin. Kenapa sejak akhir-akhir ini kasih abang semakin berubah?.. Tiada lagi gurau senda dan tawa mesra. Mana perginya nur kasih yang menyuluh jiwa Fatin selama ini?.. Mana perginya abang?..


Abang,

Fatinkah yang bersalah dalam hal ini?.. kalau benar Fatin yang bersalah mengapa abang takberterus- terang? Kenapa dera perasaan Fatin atau sudah berubahkah kasih abang buat Fatin. Berterus-teranglah abang..tak sanggup lagi Fatin bermain di dalam teka-teki. Puas sudah Fatin merayu pada abang tapi jawapan abang benar-benar mengecewakan Fatin. Abang kata Fatin dah mula pandai mendesak. Salahkah Fatin mengambil berat pada insan yang Fatin cintai sepenuh hati..dan salahkan Fatin untuk mengetahui kedudukan sebenarnya. Kita pernah berjanji untuk susah dan senang bersama. Mana janji-janji abang? Katakanlah abang..mengapa abang terus membisu.


Abang,

Sejak akhir-akhir ini abang banyak berubah. Kadangkala terdetik di hati Fatin, benarkah abang menyintai Fatin ataupun sekadar ingin menebus kesilapan lalu dan mungkinkah diri Fatin ini cuma persinggahan buat abang. Bertahun lamanya Fatin cuba balut luka di hati Fatin tanpa kehadiran abang. Kehadiran abang buat kali kedua tatkala luka di hati hanya tinggal parut. Tegakah abang lukakan kembali parut yang telah Fatin rawat untuk sekian lama. Abang, bukan wang ringgit yang Fatin impikan dari abang cuma limpahan kasihsayang buat Fatin bagi memberi kekuatan untuk Fatin tempuhi hari mendatang dan meneruskan perjalanan hidup ini.


Sham, Nita, Shah,

Akukah yang tersilap kerana memberinya peluang kedua sehinggakan luka lama yang kini cuma tinggal parut terasa pedih kembali. Mungkinkah luka lama yang kalian rawat dengan kasih sayang yang mengambil masa bertahun lamanya untuk sembuh akan berdarah kembali..Aku sendiri kurang pasti. Namun jauh di sudut hati, aku berharap dia akan kembali merawat kepedihan yang makin terasa di hati ini. Bodohkah aku kerana masih menaruh harapan yang terlalu tinggi setelah apa yang telah terjadi.. tapi apa yang aku pasti, aku benar-benar menyintainya..


Abang,

Apa lagi yang perlu Fatin lakukan agar keadaan kembali seperti sediakala. Fatin benar-benar buntu. Ingin rasanya Fatin lari jauh dari kemelut ini. Sudah penat rasanya memikirkan persoalan hati dan perasaan yang tiada kesudahannya. Entah bilakah kan Fatin menemui kebahagiaan abadi. Sampai bila Fatin mampu bertahan dan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku sedangkan hati Fatin ini sudah cukup pedih atas apa yang terjadi. Maafkan Fatin abang. Izinkan Fatin undur diri kiranya Fatin tak diperlukan lagi dalam hidup abang. Sebelum pedih di hati melarat menjadi luka parah, izinkan Fatin mencari sebuah kebahagiaan yang abadi. Biarlah masa yang menentukan penghujung cerita cinta kita.

Usahlah dikesali perpisahan ini sekiranya ia adalah penghujung cerita cinta kita seperti mana penghujungnya coretan Fatin ini. Cukup sudah hati ini terluka.. Fatin tak sanggup lagi terluka kerana Fatin tak berdaya merawatnya lagi sekiranya ia terjadi buat kali kedua.. Perginya Fatin bukan kerana membenci tapi demi mencari sebuah cinta abadi.. Maafkan Fatin..Namun percayalah..jiwa dan cinta Fatin hanya milik abang..Nama abang telah Fatin ukir indah di sudut hati ..dan ia tak akan terpadam sampai bila-bila..You'll always be in my heart.


Salam sayang,

FatinYusrina
4/2/2000

Air mata Amirul mengalir deras. Sungguh tak disangka perbuatannya selama ini benar-benar melukakan hati Fatin. Dia terlalu mementingkan dirinya sendiri sehinggakan dia terlupa walaupun Fatin Yusrina yang pada zahirnya kelihatan cekal dan tabah hanyalah perempuan biasa yang punya hati dan perasaan. Insan biasa yang memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang dari insan yang amat dicintainya. Dan atas kealpaan itu dia telah mengabaikan tanggungjawabnya pada Fatin dan membiarkan Fatin menempuhnya keseorangan. Walaupun segunung kesalan yang bermain di benaknya tak mungkin dia dapat menebus kembali segala kekecewaan Fatin. Amirul benar-benar terkilan.

Walaupun sudah enam bulan Fatin meninggalkan dirinya, setiap kali menatap diari biru berbunga putih ini hatinya pasti terusik kerana cintanya pada Fatin juga tak pernah padam. Insan seistimewa Fatin tak mungkin ditemuinya lagi. Pintu hatinya juga telah ditutup rapat. Tiada lagi ruang untuk insan lain bertakhta walaupun sudah puas dipujuk oleh keluarga dan teman-teman. Biarlah masa menentukan segalanya. Dan sehingga hari ini Amirul masih lagi menjadi pengunjung setia Fatin walaupun dia sedar yang tinggal kini hanyalah nisan dan jasad yang telah dimakan usia. Hasil laporan kesihatan yang baru diterimanya minggu lepas telah mengukuhkan lagi keyakinan bahawa dia tidak perlu lagi berulang-alik untuk mengunjungi Fatin kerana dia akan menjadi peneman setia Fatin tidak lama lagi. Digulung kembali tikar yang telah digunakan tadi dan jug jernih itu dicapai. Dia melihat jam di tangan, nampaknya sudah lama dia berteleku di situ dan akhirnya dia melangkah pergi meninggalkan tanah perkuburan itu.

Fatin Yusrina. Maafkan abang, abang perlu pergi dulu buat masa ini.. percayalah, abang akan datang kembali.. Dan tika itu abang tak perlu lagi melangkah pergi meninggalkan Fatin sendirian. Abang akan sentiasa berada di sisi Fatin sampai bila-bila. Abang juga nak Fatin tahu yang abang juga menyintai Fatin sehingga akhir hayat abang..